
BINTANGOR: Dua lelaki berusia 23 dan 34 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dengan kegiatan dadah dalam operasi khas yang dijalankan di kawasan Bintangor, malam tadi.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata tangkapan dilakukan sekitar 11.00 malam menerusi Ops Tapis Khas yang dilaksanakan oleh sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.
“Kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan dadah dan dibawa ke IPD Meradong untuk siasatan lanjut.
“Saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
“Pihak polis memandang serius kesalahan berkaitan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong kepada pihak polis di Balai Polis Bintangor melalui talian 084-693222 bagi membantu usaha membanteras gejala tersebut.
Oleh Earl Anek