
KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) terus memperkukuh peranannya dalam ekosistem inovasi digital dan keusahawanan negeri apabila menyertai Digital Dive Day 2025 yang berlangsung selama dua hari, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan media, TEGAS memaklumkan bahawa penyertaan mereka sebagai rakan strategik kepada Sarawak Skills adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran serta minat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar dan tenaga kerja industri.
Sepanjang program berlangsung, TEGAS mempamerkan pelbagai inisiatif yang dijalankan untuk menyokong pembangunan bakat, inovasi dan keusahawanan di seluruh Sarawak.
Pengunjung yang hadir ke booth TEGAS berpeluang mendapat penerangan lanjut mengenai fungsi dan peranan TEGAS Digital Innovation Hub, program pemula niaga (startup), serta pelbagai inisiatif pembangunan yang dirangka bagi melahirkan generasi pemimpin digital masa hadapan.
Penyertaan TEGAS dalam Digital Dive Day 2025 selari dengan objektif acara tersebut yang memberi tumpuan kepada pembinaan kemahiran dan penyediaan belia Sarawak untuk merebut peluang dalam ekonomi digital yang kian berkembang pesat.
Ia turut mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara TEGAS dan Sarawak Skills dalam usaha memperkasakan agenda digital dan TVET negeri.
Digital Dive Day 2025 melabuhkan tirainya pada 22 Mei dengan impak yang positif, menyemarakkan inspirasi dalam kalangan pelajar dan tenaga pengajar untuk terus meneroka dunia digital serta potensi keusahawanan yang luas di Sarawak.
-UKAS