
KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bakal membangunkan Penempatan Nomad Digital Tegas (Tegas Digital Nomad Lodge), sebuah kemudahan lengkap khusus untuk golongan pekerja digital atau digital nomad.
Kemudahan ini dijangka menjadi fasiliti pertama seumpamanya di Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan untuk golongan profesional digital yang bekerja secara jarak jauh.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek berkenaan akan dimulakan selepas proses tender yang dijadualkan pada November tahun ini dengan peruntukan besar daripada kerajaan negeri.
“Lodge ini kita jangka siap pada 2028. Ia akan menjadi ‘game changer’ kerana bukan sahaja menyediakan tempat tinggal tetapi juga ruang bekerja, berehat, makan dan beriadah, semuanya di bawah satu bumbung.
“Ia terbuka untuk nomad digital tempatan mahupun antarabangsa yang mahu menetap di Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Malam Apresiasi Media anjuran Tegas di Star on Stage, di sini, malam ini.
Menurutnya, projek berkenaan selaras dengan hala tuju Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memperkasakan ekonomi digital negeri, termasuk di bawah Pelan Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Sejak ditubuhkan pada 2012, jelasnya, Tegas telah memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan bakat, inovasi dan keusahawanan teknologi di Sarawak.
“Kerjasama dengan media juga penting kerana peranan media sebagai penyampai maklumat mampu memastikan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar tidak ketinggalan untuk memahami peluang yang disediakan kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, selain pembangunan lodge, kawasan sekitar projek itu juga akan dilengkapi dengan taman rekreasi serta penanaman pelbagai spesies buah hutan Sarawak sebagai sebahagian daripada tarikan ekopelancongan dan pendidikan kepada generasi muda.
Beliau berkata, projek itu akan dibangunkan di kawasan seluas 20 hektar yang telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri, di mana lima hektar telah dimanfaatkan untuk kemudahan sedia ada, manakala baki 15 hektar lagi akan dibangunkan sebagai kawasan penempatan dan taman rekreasi.
“Daripada jumlah itu, 10 hektar akan dijadikan taman untuk aktiviti riadah seperti berjoging serta penanaman buah-buahan hutan Sarawak sebagai tarikan ekopelancongan dan pendidikan,” katanya.
Menurut beliau, penempatan tersebut bakal dilengkapi dengan pusat kesihatan, gim digital, pusat riada dan banyak lagi.
Oleh Shahrul Qaizat