
BEKENU: Pembinaan projek Tebingan Sungai Kampung Rambai kini giat dijalankan dengan kerja-kerja asas termasuk pemasangan tiang konkrit sedang berlangsung di Tebingan Sungai Sibuti, berhadapan dengan Pasar Bekenu.
Tinjauan Utusan Sarawak hari ini mendapati deretan tiang konkrit yang kini tertanam di sepanjang tebing sungai menjadi petanda jelas bahawa projek tersebut sudah memasuki fasa pembinaan awal.
Projek ini dikendalikan oleh sebuah syarikat kontraktor yang dilantik sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperindah kawasan tebingan sungai dan merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi tempatan.
Majlis pecah tanah bagi projek berimpak tinggi ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus pada April lepas.
Tebingan Sungai Kampung Rambai dijangka memberi nafas baharu kepada landskap pekan Bekenu, bukan sahaja sebagai tempat rekreasi untuk penduduk tempatan malah sebagai tarikan kepada pelancong luar.
Nilai kos Projek Tebingan Sungai Kampung Rambai Bekenu ini ialah RM4.13 juta dan dijangka siap pada 3 April 2026.
Ini merupakan antara projek strategik di bawah inisiatif pembangunan luar bandar kawasan Sibuti.
Penduduk sekitar menyambut baik pembangunan ini yang diyakini akan membuka lebih banyak peluang ekonomi dan sosial kepada komuniti setempat.
Oleh Adum Liu