MENJELANG pertengahan Mei atau penghujung Jun tahun ini, pemandangan landskap Bandar Simanggang akan menjadi lebih indah dan menarik lebih-lebih lagi di kawasan Tebingan Sungai Batang Lupar.
Ini kerana kerja menaik taraf Tebingan Sungai Batang Lupar atau tapak sambutan temasya Pesta Benak dijangka selesai walaupun mengalami kelewatan disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19.
Projek tersebut bermula pada April 2019 telah pun dilulus oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan kos sebanyak RM12 juta.
Mengapakah tapak sambutan temasya Pesta Benak ini dibina? Untuk pengetahuan pembaca, Pesta Benak Sri Aman mula dianjur pada tahun 2000 sebagai projek perintis bagi memacu sektor pelancongan di daerah ini.
Namun begitu apabila projek perintis tersebut membuktikan bahawa pesta ini mampu meraih sambutan mengalakkan daripada pengunjung maka pelbagai acara baharu telah pun ditambah untuk penganjuran Pesta Benak yang seterusnya iaitu pada tahun 2001.
Antara acara utama yang diadakan pada temasya itu sehingga sekarang adalah Lumba perahu panjang (sakai), lumba menentang arus, lumba enjin pam, luncur benak, ratu pelancongan, bazar ria, pameran, pertandingan nyanyian dan sebagainya.
Kebanyakan acara utama berlangsung di Dermaga Perdagangan Sungai Batang Lupar atau lebih dikenali sebagai ‘wharf’ sehingga kawasan itu menjadi tumpuan puluhan ribu penduduk sepanjang tempoh tiga hari penganjuran aktiviti itu.
Populariti sambutan Pesta Benak Sri Aman ini akhirnya mendorong kepada perlunya keperluan untuk membina kemudahan sambutan temasya tersebut yang lebih selesa dan menarik untuk pengunjung dari seluruh negeri ini.
Faktor ini akhirnya mendorong kepada cadangan membina Taman Tebingan Sungai Batang Lupar sebelum Ketua Menteri bertindak melulus peruntukan untuk menaik taraf dan menyedia pentas kekal bagi tujuan sambutan acara itu.
Apakah yang terkandung dalam projek naik taraf taman berkenaan? Jika mengikut pelan, projek naik taraf ini bakal menyaksikan wujudnya sebuah bangunan dua tingkat di kawasan tapak lama ‘wharf’ tersebut.
Bangunan baharu ini nanti bakal menempatkan pusat kebudayaan, galeri, 14 unit gerai makanan untuk operasi sanggar makanan, 12 unit kedai runcit, tandas awam, bilik penyelenggaraan dan bilik enjin pam.
Pada awalnya pembinaan dua menara turut terkandung dalam pelan ini. Namun disebabkan oleh faktor kos, pembinaan dua menara itu ditangguh sementara menunggu peruntukan baharu yang dilulus oleh kerajaan untuk pelan seterusnya.
Bagaimanapun pelan naik taraf sedianya ada dilihat amat baik untuk mengindahkan lagi pemandangan landskap di kawasan Bandar Simanggang apabila Mexajati berjaya memenuhi kehendak kontrak mereka pada pertengahan Mei ini.
Penularan Covid-19 mungkin menghalang penganjuran Pesta Benak tahun ini. Namun jika penularan pandemik itu sudah berakhir kelak maka barulah hasil projek menaik taraf taman ini dapat terserlah pada sambutan Pesta Benak akan datang.
Buat masa kini kita hanya perlu menanti. Pihak kontrak Mexajati sudah pun diberi tempoh lanjutan tempoh masa (EOT) sehingga 15 Mei ini untuk menyelesaikan projek menaik taraf berkenaan.
Jika projek menaik taraf berkenaan siap dilaksanakan kelak maka Taman Tebingan Sungai Batang Lupar ini sudah pastinya akan melonjakkan lagi industri pelancongan di kawasan Bandar Simanggang menerusi penganjuran Pesta Benak.
Apabila ia berlaku maka para peniaga dan pengusaha pelancongan di kawasan Sri Aman pasti akan memperoleh banyak manfaat daripada hasil usaha Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu nanti.
Penghargaan perlu diberi kepada Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis dan semua pihak yang terlibat berhubung usaha mereka dalam membina satu pentas kekal bagi sambutan Pesta Benak Sri Aman dalam bandar ini.
Penting sekali adalah semua pihak haruslah agar saling bekerjasama untuk menjayakan projek naik taraf tersebut mengikut OET yang diberi agar rakyat dapat menikmati kemudahan baharu itu pada masa akan datang.
Oleh VALENTINE NGUMBANG