
KUALA LUMPUR: Kisah perjuangan srikandi agung Kesultanan Melayu Melaka Tun Fatimah, diangkat ke pentas teater menerusi pementasan Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula malam ini di Panggung Bangsawan Melaka.
Pementasan yang dijadualkan hingga 15 Jun itu membawakan kisah epik wanita Melayu yang berdepan tragedi, pengkhianatan dan dilema antara cinta serta tanggungjawab, namun bangkit sebagai lambang keberanian dan kebijaksanaan.
Diterbitkan oleh Boolan Trending dengan kerjasama Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM), produksi itu mendapat sokongan kerajaan negeri Melaka menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Pengarah teater Lokman Ghani berkata pementasan itu bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi medium pendidikan dan penghayatan sejarah melalui seni budaya yang dekat dengan masyarakat.
“Tun Fatimah bukan sekadar tokoh legenda, tetapi ikon wanita Melayu yang berani dan cekal. Kami gabungkan elemen bangsawan, silat teaterikal dan pendekatan moden agar kisah ini mampu difahami dan dihayati generasi kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Watak Tun Fatimah dimainkan oleh Neera Azizi sebagai Tun Fatimah sementara Ashraf Muslim sebagai Sultan Mahmud Shah dan Aziz M. Osman serta Radhi Khalid pula selaku penasihat istana, bangsawan serta antagonis penting.
Penonton juga akan disajikan dengan persembahan silat tempur oleh juara dunia Al Jufferi Jamari, yang membuat penampilan istimewa dalam pementasan berkenaan.
Menurut kenyataan itu juga, teater yang berlangsung di pentas ikonik negeri tersebut dilihat menyokong kempen Tahun Melawat Melaka 2025 dengan mengetengahkan warisan seni tempatan sebagai satu daripada tarikan pelancongan budaya.
Pementasan itu turut membuka peluang kepada pelakon tempatan dan bakat baharu untuk menyerlah dalam produksi berskala besar, selain menghidupkan semula sejarah tanah air dalam bentuk penceritaan visual yang menarik.
Orang ramai yang ingin menyaksikan teater berkenaan boleh dapatkan tiket di pintu masuk panggung.– Bernama