
KOTA SAMARAHAN: Teater muzikal Anak Jalanan bakal dipentaskan buat pertama kali oleh UNIMASTAGE, bersempena Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Bahagian Samarahan 2025.
Pementasan ini merupakan hasil kolaborasi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta inisiatif Pembelajaran Khidmat Malaysia, Universiti untuk Masyarakat (SULAM).
Menggabungkan elemen seni dan advokasi sosial, Anak Jalanan menampilkan pelakon dari kalangan pelajar jurusan Drama dan Teater, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Unimas serta karya ini ditulis oleh Azri Ali dan diarahkan oleh Sharon Syarafina.
Kisah ini mengangkat isu gelandangan kanak-kanak dan sindiket pengemisan yang memaksa mereka mengemis demi kepentingan pihak tertentu.
Di sebalik penderitaan yang dilalui, wujud nilai persaudaraan, keberanian dan harapan yang akhirnya membawa kepada pembebasan, walaupun dengan pengorbanan yang menyayat hati.
Teater muzikal Anak Jalanan bukan sekadar pementasan teater, tetapi satu gesaan kesedaran kepada masyarakat untuk lebih peka terhadap penderitaan kanak-kanak dan memastikan hak mereka untuk hidup selamat, disayangi dan berpeluang membina masa depan.
Pementasan akan berlangsung dari 20 hingga 22 Jun 2025 di Dewan Serbaguna Student Pavilion, Unimas.
Tiket berharga RM15 bagi orang awam dan RM10 bagi pelajar serta pembelian boleh dibuat dengan mengimbas kod QR pada poster rasmi atau menghubungi Sariyan (018-2975311) dan Nazifah (013-6041016) melalui WhatsApp.
Program ini turut disokong oleh rakan strategik dan penaja seperti Unimas, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Sulam Unimas, Semarak Kreatif, unimastage, Persatuan Apresiasi Kreatif Teater (Sikreate), Illustrato, Program Muzik FSGK, Program Animasi FSGK, Farley dan KFC.