KUCHING: Skuad ‘Team Clucth’ berjaya merangkul kejuaraan sulung dalam kejohanan SAMArindok PUBG Mobile SARAMEDIA-AKYBMS 2020 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).
Skuad tersebut muncul juara setelah bertarung bersama 128 pasukan handalan dari seluruh Sarawak pada pertandingan yang berlangsung pada 25 dan 26 September lalu secara atas talian.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad “Team Clucth” membolot hadiah utama berupa wang tunai RM1,000, trofi eksklusif dan sijil berbingkai.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh skuad ‘NakpaKoTokk’ yang turut beraksi cemerlang dalam pusingan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM700, trofi eksklusif dan sijil berbingkai.
Tempat ketiga disandang oleh skuad ‘Boobook MX’ dan mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM500, trofi eksklusif dan sijil berbingkai, manakala skuad ‘Boobook R.A’ di tempat keempat dan memenangi hadiah sagu hati berupa wang tunai RM300 dan sijil penyertaan.
Selain itu, anugerah khas turut disampaikan kepada pemain Team Clucth yang dinobatkan sebagai Pemain SAMArindok (MVP) sekali gus menerima hadiah wang tunai RM150, trofi eksklusif dan sijil berbingkai.
Skuad ‘Krek Unknown’ pula dinobatkan sebagai Skuad SAMArindok dengan menerima hadiah wang tunai RM200, trofi eksklusif dan sijil berbingkai.
Istimewanya, pertandingan PUBG Mobile ini turut menyediakan hadiah sagu hati kepada semua finalis yang beraksi di pusingan akhir iaitu hadiah sagu hati berupa wang tunai RM150 berserta sijil untuk empat skuad lapan terbaik manakala wang tunai RM80 serta sijil untuk lapan pasukan seterusnya.
Terdahulu, acara simbolik ucapan pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada 26 September secara atas talian.
Dalam ucapannya, Awang Tengah menggesa golongan belia yang aktif dalam e-sukan ini terus berusaha mengasah bakat, mempertingkatkan kemahiran serta menimba pengalaman berguna dalam pelbagai kejohanan pelbagai peringkat agar Sarawak dapat melahirkan atlit dan jaguh e-sukan bertaraf dunia pada masa yang akan datang.
Sementara itu, Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr. Sanib Said dalam upacara ringkas semasa penyampaian hadiah kepada pemenang berkata, pihak AKYBMS selaku penganjur utama melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong usaha untuk memajukan belia Sarawak khususnya dalam pembangunan e-sukan.
“Permainan sukan atas talian yang popular seperti PUBG ini tidak harus dilihat sebagai sukan semata-mata, tetapi, elemen-eleman positif yang diterapkan seperti kerjasama, patriotisme, semangat berdaya saing dan berfikiran kreatif sangat membantu untuk menjana pemikiran belia yang proaktif.
“Malah, perkara yang paling menonjol mengenai permainan simulasi menerusi peranti pintar ini ialah dapat memupuk ciri-ciri keperwiraan dalam diri belia kita secara langsung,” ujarnya.
Pertandingan ini merupakan program anjuran AKYBMS dengan kerjasama rakan kolaboratif strategik termasuk Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Sarawak All Stars e-Sport (SAS), Kelab Belia KASBA (KYC) serta rakan media e-sukan proaktif Sarawak.
Oleh ZARINA ABDULLAH