BETONG: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengatur gerak 15 anggota bersama dua kenderaan bagi membantu menangani krisis bekalan air yang menjejaskan penduduk di sekitar Bahagian Betong susulan cuaca panas dan kering berpanjangan.
Operasi bantuan kemanusiaan dan logistik itu bermula semalam pada 2.00 petang dan dijadualkan berlangsung sehingga 10 September ini, tertakluk kepada keadaan semasa.
Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) dalam kenyataan hari ini berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada penghantaran bekalan air kepada penduduk di kampung yang terjejas, khususnya di Kampung Batang Maro, Kabong serta kawasan sekitar yang berdepan gangguan bekalan air.
Menurut kenyataan itu, penglibatan TDM dilaksanakan susulan perbincangan bersama Jawatankuasa Bencana Bahagian Betong semalam.
Bagi menjayakan misi berkenaan, TDM mengatur gerak seorang pegawai dan 14 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD), Kem Pakit, selain dua buah kenderaan trak pikap Hilux.
Operasi tersebut turut dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi awam, termasuk Pejabat Residen Bahagian Betong dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada penduduk yang memerlukan.
Kerjasama antara TDM, pihak berkuasa tempatan dan agensi awam itu mencerminkan pendekatan Seluruh Kerajaan dan Seluruh Masyarakat (Whole of Government and Whole of Society, WoGoS) dalam memperkukuh penyelarasan serta keupayaan bersama ketika berdepan situasi bencana.
TDM turut memberi jaminan akan terus bersiap siaga untuk menyalurkan bantuan dan sokongan logistik tambahan sekiranya diperlukan.
Segala bentuk bantuan akan terus diselaraskan bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi memastikan keperluan penduduk terjejas di Sarawak dapat ditangani secara teratur, berkesan dan tepat pada masanya.




