
SIBU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) berjaya mengutip lebih RM155 juta zakat bagi 2025.
Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, jumlah agihan bantuan sebenarnya melebihi kutipan tersebut kerana pihaknya turut menggunakan lebihan dana daripada tahun-tahun sebelumnya.
“Ini kerana sepanjang perjalanan organisasi kita selama ini, kita mendapat banyak bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, khususnya pihak media yang telah memberikan kerjasama yang begitu baik sekali.
“Begitu juga para asnaf, jabatan lain, agensi kerajaan serta rakan-rakan strategik kami yang banyak membantu dalam melaksanakan sistem penyampaian bantuan kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Iftar Perdana sempena Program Kasih Ramadan di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Sibu petang semalam.
Mohd Shibli memberitahu, TBS menyalurkan bantuan berjumlah RM279,095 kepada 1,010 penerima asnaf di bahagian Sibu sebagai persediaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
“Ini merupakan satu manifestasi keprihatinan pihak kami, khususnya menjelang sambutan Ramadan dan juga Aidilfitri,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan mengenai pembangunan sebuah bangunan Baitulmal di Sri Aman yang dibangunkan melalui dana yang dimiliki organisasi berkenaan.
Katanya, bangunan tersebut bukan sahaja memberi manfaat dari segi penggunaan seperti sewaan, malah menempatkan beberapa agensi kerajaan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi.

“Antara agensi yang ditempatkan di bangunan itu termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, pejabat residen, pejabat daerah serta beberapa jabatan lain yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat setempat,” ujarnya lagi.
Selain itu, kaunter Perkhidmatan Kerajaan Negeri juga akan disediakan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai urusan perkhidmatan kerajaan di pusat berkenaan.
Pada majlis tersebut, Mohd Shibli telah menyempurnakan penyerahan bantuan kewangan berjumlah RM53,400 kepada 213 penerima.
Beliau turut menyempurnakan perasmian Projek Infak Baju Raya Al Bait anjuran Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) yang merupakan sebuah program istimewa bertujuan untuk memberikan pakaian baharu kepada golongan yang memerlukan terutamanya golongan Asnaf di sekitar bandar Sibu.
Oleh Akun Giman