
SARATOK: Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman mencipta kejayaan membanggakan apabila membawa pulang 10 pingat emas, lapan perak dan lima gangsa pada Kejohanan Tinju Bakat, Junior dan Remaja Jemputan Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang melabuhkan tirainya di Pentas Utama Seri Kalaka, dekat sini malam tadi.
Kejayaan itu turut menyaksikan TBBC dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori junior selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan enam hari tersebut.
Presiden TBBC Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari berkata, pencapaian tersebut membuktikan kesungguhan atlet dan barisan kejurulatihan dalam memperkukuhkan pembangunan sukan tinju di Sri Aman.

Menurut beliau, pihaknya berharap pasukan itu akan kembali dengan persediaan lebih mantap pada kejohanan akan datang selaras dengan cogankata TBBC iaitu ‘I Will, I Can’.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atlet yang sentiasa memberikan sokongan kuat dari segi kewangan dan tenaga sepanjang para petinju berkampung selama seminggu di Saratok.
“Kami juga amat berbangga apabila tiga petinju TBBC berjaya dipilih mewakili Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor nanti,” katanya.
Awangku Hafizi berkata, kejayaan itu turut didorong oleh komitmen tinggi barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Kamaruddin Mohamad serta usaha gigih atlet dalam menjalani latihan dan persiapan sebelum kejohanan.
Tambah beliau, TBBC kali ini turut memberi lebih keutamaan kepada bakat-bakat baharu bagi memberi pendedahan awal serta menguji kemampuan mereka di gelanggang pertandingan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor serta Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie atas sumbangan dan keprihatinan mereka terhadap pembangunan sukan tinju di peringkat akar umbi.
Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) yang banyak membantu TBBC terutama dalam program pembangunan awal kelab tersebut.
Sementara itu, Ketua Jurulatih TBBC, Kamaruddin Mohamad berkata, sasaran untuk meraih 10 pingat emas pada kejohanan tersebut berjaya dicapai dan beliau amat berpuas hati dengan prestasi dipamerkan oleh petinju baharu serta petinju lama TBBC.
Menurutnya, latihan intensif menerusi Program Belia Unggul Komuniti Utuh dan Teguh (BUKUT) serta sokongan APPGM-SDG telah memberikan impak positif kepada prestasi atlet, sambil menegaskan perjuangan TBBC belum selesai dan kelab itu akan terus melahirkan lebih ramai petinju berkualiti untuk Sri Aman dan Sarawak.
Kejohanan berprestij yang berlangsung dari 4 hingga 9 Mei itu menghimpunkan petinju muda berbakat dari seluruh Sarawak dengan penyertaan empat kelab utama iaitu JHBC, Kelab Tinju Panglima Seman, TBBC dan Kelab Tinju UDAK.
Oleh Adi Safarman