
SIMANGGANG: Kelab Tinju Tidal Bore Club (TBBC) Sri Aman menzahirkan rasa solidariti dan keprihatinan terhadap bekas peninjunya, Awang Sharul Azim, yang terkesan akibat musibah kebakaran di Kampung Tengah Simanggang, baru-baru ini.
Sebagai tanda sokongan moral dan kebersamaan, TBBC Sri Aman telah menyerahkan sumbangan hasil kutipan orang ramai kepada wakil keluarga mangsa, iaitu abang beliau sendiri.
Penyerahan itu dilakukan oleh Pengerusi TBBC, Awangku Hafizi Awang Azahari dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Gimnasium TBBC Sri Aman, Dewan Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
“Ini merupakan sumbangan kecil hasil keprihatinan komuniti kita. Semoga ia dapat meringankan sedikit beban dan memberi semangat buat saudara kita untuk terus bangkit,” kata Awangku Hafizi.
TBBC Sri Aman turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang atas sokongan yang diberikan, membuktikan semangat kekitaan dan kebersamaan yang utuh dalam kalangan ahli serta komuniti setempat.
Turut hadir dalam penyerahan tersebut, Timbalan Pengerusi TBBC, Kamaruddin Mohamad dan Setiausaha TBBC, Subhi Ahmad.
Oleh Adi Safarman