
LOS ANGELES: Taylor Swift mendedahkan bahawa album terbarunya berjudul The Life of a Showgirl akan dilancarkan pada 3 Oktober, sambil mempersembahkan seni kulit album dan senarai lagu untuk album dijangka menjadi antara paling popular tahun ini.
Pengumuman itu dibuat dalam episod rancangan podcast New Heights Show yang disiarkan pada hari Rabu, yang dikendalikan oleh teman lelakinya, pemain pasukan Kansas City Chiefs, Travis Kelce, bersama abangnya, Jason.
Perkara itu turut disahkan menerusi akaun media sosial rasmi milik Swift.
“Sayang, begitulah dunia hiburan. Album baharu The Life of a Showgirl akan dilancarkan pada 3 Oktober,” tulisnya dalam Instagram.
Laman web rasmi Swift memaparkan empat versi CD berbeza, termasuk edisi khas “peluh dan minyak wangi vanila” yang juga ditawarkan dalam format kaset dan vinil.

Kulit album untuk edisi tersebut menampilkan pemenang 14 kali Anugerah Grammy itu separuh tenggelam dalam air yang kelihatan agak keruh, sambil memakai baju bertatah batu permata.
Senarai lagu yang turut didedahkan pada Rabu itu mengandungi 12 lagu, termasuk lagu utama bertajuk The Life of a Showgirl menampilkan penyanyi Sabrina Carpenter.
Pelancaran kali terakhir Taylor Swift, The Tortured Poets Department, berlangsung pada April tahun lalu. Hanya beberapa jam selepas pelancarannya, penyanyi lagu Shake It Off itu mengembangkan album tersebut menjadi album berganda bertajuk The Anthology, yang menguasai carta muzik sepanjang tahun.
Penyanyi berusia 35 tahun itu baru-baru ini menamatkan jelajah dunia selama hampir dua tahun yang mencatat pendapatan sebanyak AS$2 bilion, memecahkan rekod.
Sebanyak 149 persembahan dalam Eras Tour biasanya berlangsung lebih tiga jam, menghiburkan peminat yang sanggup membayar harga tinggi demi berpeluang menyaksikan salah seorang bintang pop terbesar sepanjang zaman.
Walaupun Swift terkenal dengan lagu-lagu yang berkisarkan kisah patah hati bersama bekas kekasihnya selama dua tahun bersama Kelce, salah seorang pemain NFL.
Namun, sokongannya terhadap calon Demokrat, Kamala Harris, dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat November lalu tidak mencukupi untuk mengubah keputusan — walaupun ia mencetuskan kemarahan pemenang, Donald Trump, yang menyatakan di media sosial, ‘I HATE TAYLOR SWIFT.’ – AFP