
LONDON: Bintang pop sensasi Amerika Syarikat, Taylor Swift, bakal diabadikan menerusi 13 patung lilin yang akan dipamerkan di cawangan Madame Tussauds di seluruh dunia, menurut muzium berkenaan semalam.
Sebagai penghormatan kepada nombor bertuah Swift, iaitu 13, sebanyak 13 daripada 22 cawangan muzium patung lilin itu akan menerima satu patung penyanyi lagu Love Story dan Blank Space tersebut, yang digambarkan sebagai “projek paling bercita-cita tinggi” dalam sejarah 250 tahun Madame Tussauds.
Patung-patung berkenaan diinspirasikan daripada beberapa penampilan ikonik Swift, 35, semasa Eras Tour dari 2023 hingga 2024, yang mencatat pelbagai rekod dunia.

Menerusi 149 persembahan di seluruh dunia dalam tempoh hampir dua tahun, jelajah itu meraih pendapatan lebih AS$2 bilion, menjadikannya yang paling menguntungkan dalam sejarah muzik setakat ini.
Lebih 40 artis terlibat dalam penghasilan patung tersebut, yang mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan. Swift kini dianggap antara artis paling berpengaruh dalam generasinya, dengan 14 Anugerah Grammy dalam koleksinya.
“Inilah projek paling bercita-cita tinggi dalam sejarah 250 tahun Madame Tussauds, dan ia dirasakan amat sesuai bagi mencerminkan status luar biasa Taylor Swift,” kata Danielle Cullen, penggaya figura kanan muzium berkenaan.
Peminat Swift di United Kingdom pastinya teruja, dengan satu patung lilin bakal ditempatkan di London dan satu lagi di bandar peranginan tepi laut Blackpool, di utara England.
Sepuluh lagi patung akan dipamerkan secara tetap di cawangan Madame Tussauds di Amsterdam, Berlin, Budapest, Los Angeles, Hong Kong, Las Vegas, Nashville, New York, Orlando dan Sydney.
Patung ke-13 pula akan menjelajah ke cawangan lain di seluruh dunia, dan akan memulakan siri jelajah tersebut dengan penempatan pertama di Madame Tussauds Shanghai. – AFP