
KUALA LUMPUR: Tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam negara telah ditamatkan sejak semalam atas permintaan penerbit filem berkenaan sendiri, menurut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
FINAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem yang berurusan dengan pihak pempamer (pawagam).
“Berdasarkan e-mel daripada pihak penerbit yang dikongsikan kepada FINAS, penerbit filem tersebut, Elepfilm Entertainment Sdn Bhd telah meminta supaya tayangan filem Konspirasi ditamatkan bermula pada tarikh berkenaan.
“Semakan FINAS dengan pengedar dan pemamer filem juga mendapati penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, FINAS turut mengesahkan bahawa filem itu telah memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF), sebelum diluluskan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei 2026 dan mula ditayangkan pada 21 Mei di 120 skrin pawagam, di seluruh negara.
Menurut FINAS, pihaknya kini sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada penerbit berhubung keputusan menamatkan tayangan filem tersebut, namun sehingga kini penerbit masih belum dapat dihubungi meskipun beberapa usaha telah dilakukan.
“FINAS akan terus mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkaitan dan akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, pelakon Sarimah Ibrahim memuat naik luahan di platform Threads dengan mendakwa tayangan filem berkenaan dihentikan secara serta-merta di semua pawagam, selain menyifatkan situasi itu sebagai sesuatu yang “pelik” dan mengejutkan.
Luahan tersebut kemudian mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk persoalan mengenai tempoh tayangan filem tempatan di pawagam berbanding filem luar negara.
Filem Konspirasi mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 21 Mei, sebagai naskhah aksi thriller politik yang mengetengahkan isu rasuah, kebocoran maklumat sulit serta operasi badan penguat kuasa negara.
Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu, menampilkan barisan pelakon seperti Sarimah Ibrahim, Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Roy Azman dan Esma Daniel. – Bernama