SIBU: Kutipan hasil tayangan amal filem ‘Rajah’ pada 9 Mac lalu di pawagam King’s Trioplex serba sedikit membantu meringankan kos pendidikan anak-anak yatim di Peryatim Sibu Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang (KKJTHB).
Presiden JCI Sibu, Samuel Ngu menyampaikan sumbangan berupa alat tulis kepada seramai 55 anak yatim menerusi Pengerusi KKJTHB Dato Mohamad Yusnar Matalie.
Katanya, tindakan positif JCI Sibu ini dapat menjadi contoh kepada yang lain untuk membantu Peryatim Sibu.
“Sebanyak 80 hingga 90 peratus kos operasi Peryatim Sibu adalah dari sumbangan orang ramai dan badan korporat,” ujarnya.
Pengerusi Pengelola Junior Chamber International (JCI), Nickson Wong menzahirkan terima kasih kepada semua orang awam yang telah menyokong program amal JCI Sibu dan Pengurus KKJTHB Najilanisa Suhaili mewakili Peryatim Sibu berterima kasih kepada JCI Sibu atas sumbangan tersebut.
“Semangat ini menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Sarawak untuk terus berkhidmat kepada komuniti tanpa mengira latar belakang agama, pengalaman dan kepercayaan,” jelasnya.
Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) adalah badan bukan kerajaan (NGO) naungan Kerajaan Sarawak yang membantu anak-anak yatim dalam membentuk peribadi, akhlak serta mempunyai ilmu pengetahuan.
PERYATIM Sibu beroperasi sejak Jun 2014 dan secara rasmi menggunakan nama Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang pada April 2021 bersempena nama isteri Premier Sarawak yang juga penaung Peryatim Sarawak.
Oleh AKUN GIMAN