
MAKKAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya melakukan tawaf wada’ atau tawaf selamat tinggal yang merupakan ibadah wajib untuk dilaksanakan sebelum meninggalkan kota suci Makkah.
Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji (TH) Shahrin Awaludin berkata mengikut pandangan Imam Syafie adalah berdosa sekiranya jemaah haji tidak melakukan perkara itu dan boleh dikenakan dam seekor kambing.
“Walaupun terdapat perselisihan pendapat tetapi bagi TH yang mengguna pakai Resolusi Muzakarah Haji, jemaah haji Malaysia adalah diwajibkan melakukan tawaf wada’ apabila meninggalkan tanah haram Makkah melebihi dua marhalah.
“Memandangkan ramai dalam kalangan jemaah kita ini yang kali pertama datang dan kita datang dari jauh selain mungkin tidak datang lagi selepas ini, sebab itu sangat penting untuk jemaah melakukan tawaf wada’,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.
Tawaf wada’ adalah tawaf selamat tinggal dan dilakukan oleh jemaah haji atau jemaah umrah, termasuk penduduk kota Makkah bagi memuliakan dan menghormati Baitullah (Kaabah) sebelum mereka berangkat meninggalkan kota suci Makkah.
Shahrin berkata antara individu yang dikecualikan daripada melakukan tawaf wada’ ialah jemaah wanita berhadas besar iaitu haid dan jemaah uzur atau sakit selaras kelonggaran ditetapkan syarak, namun, bagi yang tiada halangan syarie dan tetap meninggalkan tawaf wada’, mereka wajib membayar dam tertib dan taqdir.
Menurut Shahrin, tawaf wada’ perlu dilaksanakan dalam tempoh lapan jam sebelum bergerak keluar dari Makkah bagi memastikan ia dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa.
Selain itu, Shahrin berkata pasukan Bimbingan Haji TH turut mengadakan taklimat dan sesi ulang kaji khas bagi membantu para jemaah memahami dan melaksanakan tawaf wada’ dengan sempurna.
Beliau berkata tawaf wada’ boleh dilakukan tanpa memakai pakaian ihram dengan jemaah lelaki boleh melaksanakannya dengan berpakaian biasa.
“Cukup dengan melaksanakan tujuh pusingan mengelilingi Kaabah dengan niat tawaf wada’. Ini merupakan ibadah penutup yang melambangkan perpisahan dengan Baitullah dan menjadi amalan terakhir sebelum jemaah berangkat pulang ke tanah air,” katanya.– Bernama