Oleh Tautan Latar dan Cerita dalam “Kotak Bahagia”
TAHNIAH kepada penulis cerpen “Kotak Bahagia” kerana berjaya menyiapkan sebuah cerpen yang menarik apabila berjaya menonjolkan latar alam persekolahan di samping membawa mesej yang berguna kepada pembaca. Apabila latar berjaya dihidupkan oleh penulis, maka suasana cerita dapat membantu cerita itu berdiri dengan sendiri dengan dirian yang kukuh, dengan bantuan pasak latar tempat, latar masa dan latar masyarakat.
Sinopsis
Afira mengalami kesedihan yang berat selepas kematian ibu dan ayahnya. Dia kembali ke asrama meneruskan persekolahan dalam suasana sedih. Dia cuba menghiburkan hati dan juga dibantu oleh sokongan moral oleh rakan-rakan di sekolah. Afira terjebak dengan permainan Qujia akibat perasaan rindu terhadap ibu bapanya yang telah tiada. Afira yang bermain bersama-sama Qistina telah ditangkap oleh Cikgu Rosnah lalu menegur perbuatan mereka melanggar larangan agama. Afira menemui kembali bahagianya setelah mendengar nasihat daripada Cikgu Rosnah tentang cara terbaik menangani kesedihan Afira.
Latar
Cerita ini menarik dengan latar pilihan penulis telah membantu menghidupkan suasana cerita. Watak utama yang kesedihan telah dibawa kembali ke sekolah setelah seminggu kematian ibu dan ayahnya. Sekolah merupakan latar pilihan penulis untuk bercerita. Latar ini sedikit sebanyak membantu menghidupkan suasana cerita kerana sedih itu akan lebih terasa apabila berada jauh daripada keluarga seperti tinggal di asrama. Walaupun Afira masih lagi dalam kesedihan namun dia terpaksa meneruskan rutin kehidupan biasa sebagai seorang watak yang masih bersekolah. Sekalipun dihimpit dan digigit kesedihan dia terpaksa bergerak semula ke latar ‘sekolah’ kerana keperluan watak itu sebagai seorang pelajar. Situasi ini dijelaskan oleh penulis pada awal cerpennya seperti berikut;
BAU tanah merah di tangan Afira minggu lepas masih lagi menyucuk hidung, lalu menghantar rindu di ingatan. Sudah habis takungan air matanya yang turut berduka atas pemergian ibu bapanya seminggu lalu. ‘Hidup perlulah diteruskan’ persis mantera yang sering didengarnya dari ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara mara. Dirinya sudah kalis dengan ucapan takziah. Hatinya pula masih tercari-cari sisa bahagia untuk menghadapi kehidupan.
Kereta Axia putih meluncur laju di jalan raya menuju ke SMK Baiduri. Afira perlu kembali ke asrama sekolah tersebut untuk meneruskan pengajiannya sebagai pelajar tingkatan empat. Dirinya yang kelihatan kosong terus bergegas mengangkat barang-barang dan bersalaman dengan ibu saudaranya sebelum menuju ke bilik asrama.
Dalam petikan di atas penulis melukis latar masyarakat sebagai seorang pelajar yang tinggal di asrama. Afira bersalaman dengan ibu saudaranya sebagai pengganti ibu dan bapanya sebelum balik ke asrama. Dia mengangkat barang keperluan untuk tinggal lama di asrama sebagai suasana latar biasa masyarakat pelajar yang menginap di asrama sekolah.
Selanjutnya penulis bercerita tentang latar tempat di asrama. Di situ diceritakan dalam satu bilik terdiri daripada 8 orang penghuni dan tidak ketinggalan juga penulis bercerita tentang katil-katil yang lumrah di asrama; bukan tinggal berseorangan. Latar tempat ini menghidupkan suasana tinggal di asrama dan Afira yang dalam kesedihan disapa oleh rakan-rakan sebiliknya dapat membantu mengurangkan kesedihannya. Suasa ini ditulis seperti berikut;
“Hai semua…!” kata Afira sebaik sahaja melangkah masuk ke kamarnya yang berlantaikan jubin itu. Ukiran senyumannya sangat lebar. Lapan orang ahli kamarnya mendekati lalu Qistina, lalu penghuni katil sebelahnya bersuara.
“Kau OK?”
“Ya, aku OK, sihat dan masih waras,” kata Afira lalu ketawa kecil. Rakan-rakanya yang lain lalu memeluk Afira dan mengucapkan salam takziah kepadanya. Afira terharu kerana mempunyai rakan sekamar yang mengambil berat tentang dirinya.
Petikan di atas membuktikan bahawa latar pilihan penulis membantu watak menghadapi dugaan. Ramah mesra, gurau senda rakan seasrama menyebabkan Afira yang sedih menjadi ketawa kecil. Keadaan itu terkesan oleh Afira menyebabkan dia terharu kerana mempunyai rakan-rakan yang ambil tahu tentang nasib menimpa dirinya.
Seterusnya penulis bercerita tentang suasana di asrama selepas pelajar-pelajar kembali ke asrama dari rumah. Mereka akan membawa bekalan makanan yang disediakan oleh ibu dan ayah dari rumah. Penulis menceritakan keadaan latar ini apabila setiap orang pelajar membuka bekal masing-masing menyebabkan latar itu dihidupkan dengan deria bau. Bilik asrama itu telah berubah menjadi bau lauk-pauk yang dibawa oleh setiap penghuni dan mereka berkongsi makan bersama-sama. Latar ini turut membantu watak menangani kesedihan apabila penulis menyatakan bahawa Afira kekal dengan lawak dan ceria seperti berikut;
Selepas murid-murid selesai minum malam di dewan makan, ahli Kamar 2 Lawas selalunya akan membuka bekas makanan dan lauk dari rumah masing-masing untuk dikongsi bersama. Keluarlah haruman lauk-pauk seperti pucuk ubi masak lemak, ayam goreng, sayur midin goreng dan sayur campur. Sambil menikmati makanan, Afira seperti biasa, masih kekal dengan lawak dan sikapnya yang ceria walaupun baru sahaja kehilangan orang tua tercinta.
Juga penulis bercerita tentang latar di asrama sebenar apabila tidak melupakan watak warden. Penulis menghadirkan watak warden, iaitu cikgu Rosnah yang sinonim dengan kehidupan di asrama. Warden seperti pengganti kepada ibu-bapa ketika di asrama juga menjadi watak penting dalam cerpen ini. Kehadiran Cikgu Rosnah tidak mengganggu suasana ceria penghuni asrama malah warden membenarkan sesi berkongsi makanan ini berlaku. Tambahan pula kehadiran Cikgu Rosnah menambah keceriaan dan membuktikan suasana toleransi serta mesra antara warden dan penghuni asrama. Situasi ini turut membantu Afira menangani kesedihannya apabila dia dikatakan berseloroh dengan cikgu Rosnah. Keadaan latar ini diceritakan oleh penulis seperti berikut;
Ketukan pintu kedengaran, segera mereka membuka pintu.
“Wah, ada makan-makan! Assalamualaikum,” terjah Cikgu Rosnah, salah seorang warden asrama puteri.
“Cikgu, silalah kalau nak, jemput-jemput,” seloroh Afira diikuti gelak tawa rakan-rakan sebiliknya. Cikgu Rosnah pun masuk menuju ke arah mereka lalu mengambil sekeping keropok rempeyek. Kakinya terus melangkah mengelilingi bilik itu.
Latar di asrama turut diceritakan oleh penulis dengan mengisahkan peraturan yang perlu dipatuhi oleh penghuni asrama. Cikgu Rosnah sebagai warden yang bertanggungjawab selain mesra dengan pelajar malah menggambarkan dia seorang yang komited dengan tugasnya meronda di asrama pada latar masa waktu malam. Situasi ini diceritakan seperti berikut;
“Bagus, kamar bersih, nanti pukul 11 malam, tutup lampu ya, terima kasih, keropok rempeyek ini sedap,” katanya sambil melambai ke arah penghuni kamar tersebut yang berjumlah lapan orang.
Tepat jam 11, ruang tengah kamar yang tadi dipenuhi makanan telah dikemas semula. Lampu kamar ditutup dan semua ahlinya mula diberatkan mata kerana kekenyangan.
Penulis juga tidak lupa bercerita tentang rutin kehidupan pelajar asrama yang mengikut jadual ditentukan oleh pihak sekolah. Sejak latar masa awal pagi sudah diatur rutin aktiviti harian pelajar asrama memulakan hari baru seperti berikut;
Seawal jam 5 pagi lagi, murid-murid asrama SMK Baiduri mula bangkit dari lena untuk menunaikan solat Subuh dan sarapan pagi, sebelum menyambung rutin di padang perhimpunan hingga jam 7 pagi.
Seterusnya penulis meneruskan plot cerita dengan memilih latar masa dan latar tempat yang sesuai menunjukkan perubahan sikap Afira sebagai manusia biasa yang adakalanya tewas oleh asakan emosi yang melanda kehidupannya. Penulis memilih latar waktu rehat dan di dalam kelas sebagai latar yang membangkitkan semula kesedihan Afira walaupun kesedihan itu boleh ditangani ketika bersama riang ria kawan-kawan sebilik di asrama. Namun kesedihan itu datang juga apabila dia bersendirian di kelas pada waktu rehat. Keadaan ini diceritakan seperti berikut;
Sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung seperti biasa. Kedengaran bunyi loceng untuk memotong waktu guru mengajar, gelak tawa warga sekolah dan keriuhan murid-murid kedengaran. Waktu rehat kini sedang berlangsung.
Afira pula masih kekal di dalam kelas. Tidak seperti seminggu yang lalu, gembira hatinya menunggu tiba waktu rehat hilang ditiup angin kesedihan yang melanda dirinya. Dia hanya membuang pandangan kosong ke papan putih di hadapan kelas. Kotak bahagianya kosong, dirompak oleh kedukaan yang berbekas.
Dalam petikan di atas, penulis melukis suasana sedih ketika Afira bersendirian pada waktu rehat. Afira tidak keluar rehat sebaliknya melayan perasaan sedihnya dengan melihat papan putih di hadapan kelas. Namun, penulis menghadirkan watak pembantu untuk mengubah keadaan itu. Qistina rakan seasramanya yang terpisah oleh kelas berbeza telah menyedari kesedihan rakannya. Lantas dia membawa Afira keluar dari latar bilik kelas itu agar dia boleh berubah. Qistina setuju menemani Afira ke perpustakaan selepas memberinya roti berintikan mentega. Oleh itu latar perpustakaan dipilih penulis untuk mengubah sikap Afira di samping sokongan moral oleh seorang rakan seperti Qistina. Hal ini diceritakan seperti berikut;
Qistina yang baru sahaja keluar dari kelas sebelah segera berjumpa dengannya. Dia terkejut melihat Afira hanya duduk kaku di dalam kelas. Dia pun segera mematahkan lamunan Afira.
“Hoi, kau OK kah ini?” soal Qistina.
“Ya, baik sahaja, cuma tak ada rasa nak makan, jom kita ke perpustakaan,” ucap Afira yang cuba berdalih mengenai dirinya sendiri.
Rakan kesayangannya itu memberikan sebungkus roti berintikan mentega yang disediakan oleh pihak dewan makan kepada Afira. Dia bersyukur dikurniakan rakan yang prihatin dengan keadaan yang menimpanya.
Pintu perpustakaan dibuka. Kesejukan udara perpustakaan sekolah membuatkan Afira dan Qistina seringkali bertandang ke sana sambil memilih bahan bacaan yang menarik secara rawak.
Latar perpustakaan ini menjadikan pilihan penulis sebagai bijak untuk menenangkan watak Afira dengan membawanya ke gedung ilmu dengan pilihan buku-buku yang pelbagai. Latar tersebut amat sesuai dan tepat berbanding dengan latar lain di sekolah seperti di taman bunga. Namun begitu, penulis juga boleh menyelitkan mesej tertentu tentang bahan bacaan yang sesuai. Walaupun berada di gedung ilmu dengan pelbagai jenis buku, pengunjung hendaklah bijak memilih bahan yang sesuai agar tidak mengelirukan emosi dan pandangan seperti kesesuaian bahan bacaan dipilih oleh Afira ketika dia bersedih. Pilihannya itu menjadi sebab musabab penting gerak plot selanjutnya. Pilihan itu diceritakan seperti berikut;
Tangannya tiba-tiba dilorongkan ke arah sebuah buku berbahasa Inggeris bertajuk ‘Oujia Board 101’ yang ditulis oleh Nicholas Hawthorn. Afira memutar buku kelabu tersebut ke belakang untuk membaca sinopsisnya. Lama dia merenung ke dalam sinopsis itu sambil menterjemah perkataan-perkataan bahasa Inggeris yang tertera.
“Permainan Oujia boleh diguna untuk berkomunikasi dengan yang tersayang yang telah pergi ke alam lain,”
Dia meneruskan bacaan buku tersebut untuk beberapa muka surat terawal. Fokusnya membaca buku tersebut mengalahkan fokusnya jika membaca buku teks Sejarah di dalam kelas.
Petikan di atas membuktikan bahawa latar tempat pilihan penulis membantu perkembangan cerita. Di perpustakaan yang mempunyai pelbagai buku menyebabkan pembaca seperti Afira terdedah dengan pelbagai bahan bacaan. Dalam situasi ini Afira telah memilih buku cerita yang mempengaruhi emosinya malah lebih penting lagi menjadi penyebab kepada pergerakkan plot cerita selanjutnya.
Teknik Plot
Antara kekuatan cerpen ini ialah penggunaan teknik plot. Penulis bijak menggunakan teknik saspens untuk memancing pembaca teruja membaca selanjutnya menjadikan bahagian tersebut amat menarik;
“Fira nak peluk mak dengan abah, bolehkan?”
Diam.
“Mak dan abah muncullah, peluklah Fira.”
Suasana secara tiba-tiba menjadi gelap gelita. Mereka berdua tetap kekal di tempat masing-masing, cuba untuk tidak melanggar pantang larang permainan itu. Pintu Kamar 2 Lawas dibuka. Kelihatan sesusuk hitam berdiri di hadapan pintu lalu masuk ke kamar. Kini, makhluk hitam itu berdiri betul-betul di belakang mereka berdua! Jantung pun berdegup kencang seperti mereka telah berlumba lari 100 meter.
“Belum tidur lagi?” kata suara tersebut. Mereka berdua kini sangat gementar. Adakah ini hantu? Mungkinkah roh lain yang mereka berkomunikasi? Adakah mereka akan menerima malapetaka akibat melanggar pantang larang permainan ini?
Lampu kalimantang dalam bilik dibuka. Rupanya Cikgu Rosnah yang sedang menggunakan telekung berwarna ungu gelap cuba mengejutkan mereka.
“Kamu berdua ikut saya pergi ke bilik bacaan dekat bawah, bawa benda-benda itu sekali, yang lain sambung tidur!” arahnya dengan nada tegas.
Petikan di atas membuktikan bahawa penulis bijak menggunakan teknik saspens. Ketika Afira dan Qistina bermain permainan tersebut; penulis menghadirkan sosok hitam berdiri di hadapan pintu seolah-olah ibu dan ayah Afira benar-benar muncul. Teknik ini amat menarik kerana penggunaan yang tepat dan sesuai pada tempatnya menyebabkan pembaca atau watak yang mencuba permainan itu (Afira dan Qistina) percaya bahawa hal itu betul – betul berlaku. Keadaan ini menjadi harmoni apabila watak Cikgu Rosnah menjelaskan keadaan yang sewajarnya.
Penambahbaikan
Penulis disarankan berhati-hati dengan kalimat atau frasa yang boleh mengelirukan. Bahan tulisan penulis ditakuti memberi kesan negatif kepada orang lain yang sewajarnya dielak kerana kita menulis untuk menyampaikan kebaikan yang sepatutnya sampai kepada pembaca atau masyarakat. Oleh hal yang demikian, elakkan barisan ayat atau frasa yang boleh menimbulkan kesan tersebut. Buatlah pertimbangan sewajarnya akan keperluan frasa terebut atau jika dipilih untuk dibuang dan didapati tidak mengganggu pun plot cerita maka wajarlah dipotong. Hal ini boleh dirujuk seperi berikut;
“Nabi Muhammad SAW kata, amalan orang yang dah tak ada akan terputus kecuali ada doa dari anak yang soleh, ilmu yang dimanfaatkan dan sedekah jariah, sedekah yang memberi kebaikan berterusan, jadi doalah emak dan abah selalu, ya,” kata Mak Cik Zaleha usai pengebumian ibu bapanya minggu lepas. Masih diingat. Tapi doa itu sekadar dibaca, tidak terlalu dihayati. Dia masih merasakan perkara yang sama, keliru dan kosong hatinya.
‘Baca atau tak baca, macam sama sahaja aku rasa,’ bicara dirinya.
Frasa bergaris di atas boleh mendatangkan kesan negatif apabila dikaitkan dengan saranan Rasulullah SAW; boleh menimbulkan percanggahan bahawa penulis terasa seperti tiada kesan apa-apa (tidak percaya) terhadap saranan baginda.
Kesimpulannya, penggunaan latar dalam cerpen ini amat membantu mendirikan cerita dan menghidupkan suasana cerita. Walaupun sekadar menghuraikan beberapa latar (ruang singkat) namun dapat membuktikan bahawa latar yang dipilih oleh penulis bukan sekadar latar biasa-biasa tetapi mempunyai makna dan fungsi dalam cerita. Selain itu penulis juga bijak menggunakan teknik saspens pada tempat yang tepat dan sesuai menjadikan cerpen ini menarik. Teruslah menulis kerana anda berbakat dengan penggunaan bahasa penceritaan namun menulislah dengan berhati-hati dengan penuh pertimbangan khususnya hal yang sensitif.