HONG KONG: Taufan Yagi yang berpotensi menjadi ribut paling kuat dalam tempoh sedekad lalu yang kini sedang melanda kawasan padat penduduk di selatan China.
Puluhan ribu rakyat kini sedang bersiap sedia dan ada daripadanya mencari perlindungan di negara jiran Vietnam.
Taufan Yagi sebelum ini sudah membunuh sekurang-kurangnya 13 orang di Filipina awal minggu ini ketika ia masih diklasifikasikan sebagai ribut tropika sehingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh di pulau utama negara itu, Luzon, sebelum bertukar menjadi ‘super’ taufan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Ribut itu dijangka akan tiba di China hari ini di sepanjang pesisir Hainan dan wilayah Guangdong yang berdekatan, menurut agensi berita Xinhua.
Kementerian Sumber Air semalam memaklumkan pihaknya sudah mempertingkatkan tindak balas kecemasan terhadap banjir di kedua-dua wilayah berkenaan ke tahap ketiga tertinggi.
“Yagi mungkin akan menjadi taufan paling kuat yang melanda pantai selatan China sejak 2014, menjadikan kerja pengendalian banjir dan pencegahan sangat mencabar.
“Dengan kelajuan angin melebihi 240 kilometer (km) sejam, taufan ini setaraf dengan Hurrican Kategori 4,” menurut Data Bumi NASA.
Di Hong Kong, amaran taufan yang berkuat kuasa sebelum ini sudah diturunkan sejurus selepas hujan lebat ketika Yagi berada dalam jarak 400km dari bandar.
Pihak berkuasa berkata lima orang cedera di bandar akibat cuaca, tetapi kerosakan infrastruktur yang berlaku tidak begitu teruk.
Aktiviti perdagangan di bursa saham Hong Kong turut dihentikan hari ini serta operasi di sekolah turut ditutup. – AFP
Gambar
Awan ribut berkumpul di atas bangunan di Hong Kong pada 5 September 2024, ketika taufan ‘super’ Yagi menjejaki Laut China Selatan menuju ke pantai selatan China. – Foto AFP