GAMBARAN dari udara menunjukkan aliran lumpur dan air banjir selepas tasik empangan pecah, menyebabkan sebahagian jambatan di atas Sungai Mataian musnah di Hualien pada 24 September 2025. Kejadian pecahnya tasik empangan di Taiwan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang, menurut pegawai wilayah pada 24 September, selepas Taufan Super Ragasa melanda pulau tersebut dengan hujan lebat yang luar biasa. Foto AFP
TAIPEI: Air tasik yang melimpah akibat hujan lebat dibawa Taufan Ragasa mengorbankan 17 orang, mencederakan 32 orang dan menyebabkan 17 hilang di Taiwan setakat 4 petang Rabu, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Kejadian itu berlaku pada petang Selasa di Daerah Hualien di timur pulau berkenaan. Banjir daripada limpahan air tasik itu telah pun surut.
PENDUDUK yang dipindahkan dari Kampung Guangfu berlindung di sebuah gereja di Hualien pada 24 September 2025, susulan kejadian pecahnya tasik empangan semasa Taufan Super Ragasa melanda. Menurut pegawai wilayah, sekurang-kurangnya 15 orang maut dan 18 cedera apabila empangan tasik yang berusia beberapa dekad di daerah Hualien timur pecah akibat hujan lebat dibawa oleh taufan tersebut. Foto AFP
Kebanyakan mangsa ditemukan di Pekan Guangfu di Hualien, majoritinya warga emas. Kematian itu dipercayai berpunca daripada kelewatan pemindahan.
Sehingga tengah hari Rabu, lebih 5,000 orang telah dipindahkan dari Pekan Guangfu, Wanrong, Fenglin dan kawasan lain di Hualien. Sekitar 20 pusat pemindahan telah didirikan, kini menempatkan lebih 700 orang.
PENDUDUK membersihkan lumpur dari kawasan kediaman mereka, manakala kereta yang rosak kelihatan di latar belakang, di Hualien pada 24 September 2025, susulan kejadian pecahnya tasik empangan. Foto AFP
Seorang jurucakap Pejabat Hal Ehwal Taiwan di Majlis Negara hari ini menzahirkan rasa dukacita atas kematian mangsa tragedi limpahan air tasik itu serta menyampaikan takziah kepada keluarga dan mereka yang cedera.