
Kingston, Jamaica: Pihak berkuasa Jamaica semalam telah mengumumkan rancangan untuk menubuhkan beberapa hospital medan bagi membantu usaha pemulihan negara itu selepas dilanda Taufan Melissa.
Taufan berkenaan telah meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa di seluruh rantau Caribbean dan angka yang dijangka terus meningkat.
Menteri Kesihatan Christopher Tufton berkata dalam satu sidang media, “Saya menjangkakan jumlah sebenar lebih tinggi kerana masih terdapat kawasan yang sukar untuk kami capai.”
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Awam Haiti memaklumkan sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh akibat ribut tersebut.
Melissa melanda Jamaica sebagai taufan Kategori 5 yang sangat dahsyat, ribut paling kuat pernah direkodkan di pulau itu dengan kelajuan angin berterusan mencecah 185 batu sejam (hampir 300 kilometer sejam), disertai hujan lebat di seluruh negara.
Beberapa hospital di barat Jamaica antara yang paling terjejas, mendorong pihak berkuasa untuk menubuhkan beberapa hospital medan dalam masa terdekat bagi memperkukuh tindak balas kesihatan awam.
Hospital medan pertama di Black River, ibu kota wilayah yang paling teruk terjejas dan dijangka tiba hari ini.
“Sebaik sahaja diterima, kami akan segera memulakan pemasangan kemudahan tersebut,” kata Tufton.
“Hospital ini akan dilengkapi sepenuhnya, termasuk bilik pembedahan, peralatan diagnostik penting serta pasukan perubatan sokongan,” tambahnya, sambil menjangkakan kemudahan itu dapat beroperasi pada minggu hadapan.
Tufton turut memaklumkan bahawa beberapa hospital tambahan akan didirikan dengan bantuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta beberapa negara termasuk Sepanyol, Kanada dan India. -AFP