KAGOSHIMA: Pihak berkuasa Jepun mengeluarkan amaran taufan ganas dengan angin kencang dan hujan lebat sedang menuju ke arah selatan negara itu hari ini.
Taufan Haishen juga diramal cukup kuat yang mampu menumbangkan tiang elektrik dan menterbalikkan kenderaan.
Taufan itu diramal membadai melalui kepulauan kecil di wilayah Amami, berhampiran Kyushu yang memisahkan Lautan Pasifik dan Laut China Timur pada sebelah petang.
Pada jam 8 pagi (2300 GMT) semalam, Taufah Haishen bergerak kira-kira 150 kilometer ke tenggara Pulau Amami Oshima pada kelajuan sehingga 252 kilometer sejam (km/j).
Menurut Jabatan Meteorologi, ribut kencang itu diramal akan menuju ke utara dan bergerak di pesisir barat Kyushu, antara pulau utama di Jepun, dari petang hingga awal Isnin sebelum sampai ke Korea Selatan.
Sebaik ribut mendekati pulau dengan penduduk itu, angin kencangnya dijangka cukup kuat untuk menumbangkan tiang elektrik dan membalikkan kenderaan.
Lebih 200,000 penduduk di Kyushu dinasihatkan untuk segera mencari perlindungan di tempat selamat.
Bagaimanapun, menurut media tempatan, sesetengah penduduk mengambil keputusan menginap di hotel daripada bersesak di pusat komuniti atau sekolah yang disediakan bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan Covid-19.
Kejadian itu turut memaksa pembatalan 528 penerbangan, menurut penyiar awan Jepun, NHK.
Dalam pada itu, Toyota turut menggantung operasi di tiga kilangnya dekat Kyushu sehingga petang Isnin.
Beberapa syarikat gergasi seperti Canon dan Mitsubishi Electric turut dilaporkan mengambil pendekatan sama.
Taufan berkenaan turut mengakibatkan usaha pencarian membabitkan puluhan anak kapal yang hilang selepas kapal kargo mereka karam dibadai ribut kencang terhalang.
Kapal kargo itu berlayar dalam ribut disebabkan Taufan Maysak di perairan Laut China Timur, di sebelah barat Pulau Amami-Oshima di wilayah Kagoshima, pada Rabu pagi.
Setakat ini, cuma dua daripada 43 anak kapal berjaya diselamatkan. – AFP