BENGALURU: Hujan lebat melanda selatan India dan sebuah lapangan terbang utama menutup operasi apabila Taufan Fengal melanda kawasan berkenaan sejak semalam.
Ribut Siklon setara dengan taufan di Lautan Atlantik Utara atau di Pasifik Barat Laut itu adalah ancaman biasa yang berbahaya di Lautan Hindi Utara.
Namun, pakar meramalkan, seperti mana yang berlaku pada taufan, ribut, puting beliung dan siklon di seluruh dunia, tempoh serta kekuatannya berlipat ganda kali ini akibat kesan perubahan iklim terutama pemanasan global berpunca daripada pembakaran bahan api fosil.
Permukaan lautan yang lebih panas melepaskan lebih banyak wap air, memberikan tenaga tambahan kepada ribut serta menguatkan tiupan angin.
Suhu atmosfera yang semakin meningkat juga membolehkan ia menyimpan lebih banyak air serta meningkatkan hujan lebat.
Namun, ramalan cuaca yang lebih tepat dan perancangan pemindahan yang lebih berkesan membantu mengurangkan jumlah korban secara ketara.
Jabatan Kaji Cuaca India, berkata bahagian hadapan jalur pusingan yang dikaitkan dengan siklon telah memasuki kawasan daratan dengan ramalan angin berkelajuan 70 hingga 80 kilometer sejam (km/j).
Pihak berkuasa juga memberi amaran bahawa terdapat risiko banjir kilat sederhana hingga tinggi di beberapa kawasan.
Beberapa kawasan di negeri Tamil Nadu dilanda banjir, sementara pihak berkuasa melanjutkan penutupan lapangan terbang utama di ibu negeri, Chennai, hingga hari ini.
“Disebabkan angin ribut, jalan raya dipenuhi pasir dan pemandu dinasihatkan berhati-hati,” kata Polis Trafik Chennai di platform media sosial X.
Sekolah dan kolej di pelbagai daerah di negeri itu ditutup dan sekurang-kurangnya 471 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan, lapor media tempatan.
Fengal turut melintasi pesisir pantai Sri Lanka awal minggu ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang termasuk enam kanak-kanak. – AFP