Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • STAIL
  • Tatu jadi trend bergaya generasi hari ini
  • STAIL

Tatu jadi trend bergaya generasi hari ini

Utusan Sarawak 4 years ago
NICHOLAS Jenta sedang mencacah tatu pelanggannya

Jika orang zaman dahulu mencacah tatu pada badan sebagai simbol keberanian dan kepahlawanan,  generasi hari ini pula melakukannya demi gaya. Tidak hairanlah jika semakin ramai orang sekarang, tidak kira tua atau muda,   mempunyai sekurang-kurangnya satu tatu pada badan mereka.

Ramai dalam kalangan generasi muda yang  memilih untuk mencacah tatu kekal pada badan kerana mengganggap seni purba ini boleh menambah lagi gaya mereka.

Obses terhadap tatu inilah yang menjadikan industri ini tiba-tiba melonjak di mana-mana.  Tambahan pula kemajuan teknologi telah menambah baik proses dan kualiti tatu, selain memberi jaminan terhadap kesihatan dan keselamatan mereka yang bertatu.

Jika orang zaman dahulu melukis corak tatu mengikut motif tradisi yang mempunyai cerita di sebaliknya, orang zaman moden ini pula melukis tatu mengikut cita rasa masing-masing.  Kebanyakannya mencacah tatu bagi mengingati perkara-perkara penting dalam hidup mereka seperti nama kekasih, nama anak-anak, tarikh-tarikh istimewa atau corak-corak yang dirasakan menarik jika diabadikan di badan mereka.

Menurut salah seorang pembuat tatu, Nicholas Jenta, 31, dari Kampung Merang , Kuching, corak tatu yang diminta oleh para pelanggan sekarang ini memang pelbagai, dari sekadar tatu nama hinggalah tatu bercorak dan berwarna.

“Namun ramai juga yang masih sukakan corak tatu tradisi, cuma coraknya diberikan sentuhan moden” katanya.

Beliau yang telah menceburi bidang ini sejak berusia 17 tahun memberitahu, sekarang ini bertatu bukan lagi satu kejanggalan dalam kalangan anak muda. Malah ada yang mencacah tatu pada bahagian muka, seluruh muka atau seluruh badan.

“Itu pilihan pelanggan.  Sebagai pencacah tatu, kami hanya memenuhi kehendak pelanggan.  Tapi motif yang selalu diminta pelanggan kebanyakannya ukiran,” kata Nicholas.

Dengan pengalaman yang ada,  beliau boleh sahaja mencacah apa sahaja corak yang diminta pelanggan. Malah katanya, idea untuk motif tatu ini memang datang dengan sendiri tetapi boleh juga berpandukan kepada ukiran orang zaman dahulu.

“Bukan meninggi diri tetapi setakat ini tidak ada pengalaman paling sukar bagi saya untuk membuat tatu.  Cuma kalau corak tatu yang terlampau halus untuk pandangan mata, memang agak sukar tetapi boleh disiapkan,” katanya.

Bagaimanapun kata Nicholas, aspek yang amat beliau pentingkan adalah kebersihan demi keselamatan pelanggan.

“Di dalam  proses membuat tatu, semua peralatan yang digunakan mestilah bersih dan sebahagian peralatan pula mestilah jenis pakai buang, misalnya jarum tatu.  Semua peralatan yang sudah digunakan mesti dibersihkan dengan alkohol dan dibalut, manakala emasa membuat tatu pula,  wajib memakai sarung tangan,”  jelas beliau.

Nicholas menafikan bahawa tatu boleh memudaratkan kesihatan jika proses pencacahannya dilakukan dengan betul dan bersih.

Mengenai bayaran bagi perkhidmatannya, beliau berkata bayaran ditentukan berdasarkan saiz dan jenis tatu.

“Contohnya tatu berwarna, bermotif rumit atau bersaiz besar sehingga perlu menjalani proses pencacahan dua hingga empat kali, harganya tentu lebih mahal,” kata beliau yang mempromosikan perkhidmatannya itu di laman-laman sosial.

Nicholas juga berharap dapat memperluaskan lagi pengetahuannya di dalam bidang ini bagi menjadikan bidang pencacahan tatu terus popular untuk masa akan datang.

Oleh HAINI DARANI

Continue Reading

Previous: Terubuk Batang Lassa jadi buruan
Next: Jasmin Lai gapai impian semasa pandemik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.