SIBU: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis dan rombongan baru-baru ini telah meluangkan masa untuk melakukan lawatan terhadap sebuah bengkel contoh dalam bandar ini.
Kenyataan media semalam memberitahu bengkel yang dilawati oleh beliau itu diberi nama Tatsumi Kondo Memorial Workshop dan diangkat sebagai bengkel contoh kerana terkenal dengan kerja mengubah suai kerusi roda untuk golongan memerlukan di Pusat Agape Sibu.
“Lawatan berkenaaan bertujuan untuk mendapatkan maklumat kepakaran dalam pembuatan dan pengubahsuaian kerusi roda.
“Maklumat yang diperoleh menerusi lawatan ini akan digunakan dalam cadangan pembuatan alatan itu di Bengkel Seri Sarawak menerusi perlaksanaan Program OKU Empowerment: Wheel chair modification,” kata beliau.
Harden menerusi kenyataan medianya itu juga memberitahu program berkenaan nanti dijangka memberi ruang kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) memperkasa modal insan berkualiti yang mahir dalam pembuatan dan reka cipta baharu.
Terdahulu Tatsumi Kondo Memorial Workshop telah memulakan operasinya pada tahun 2006 dan mengambil nama seorang fisioterapi dari Jepun iaitu mendiang Tatsumi Kondo yang merupakan pelopor inovasi kerusi roda terhadap kanak-kanak berkeperluan khas.
Semenjak dibuka bengkel berkenaan bukan sahaja menerima permintaan dalam sekitar bandar ini malah di seluruh negara dengan teknologi reka cipta itu perlu dipertahankan dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Turut menyertai lawatan beliau adalah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Noriah Ahmad, Presiden Persatuan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas, Kapitan Dato Janet Lau Ung Hie dan pegawai JKM Sarawak.
Harden bersama rombongan kemudiannya mengadakan lawatan terhadap bangunan tambahan baharu bernilai RM13 juta di Pusat Agape Sibu yang menempatkan ruang perlaksanaan pelbagai aktiviti untuk penghuni di situ.
Oleh VALENTINE NGUMBANG