
BINTULU: Tatau kini secara rasmi berada di bawah pengurusan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperluas pembangunan serta mengimbangi permintaan tinggi terhadap perumahan di kawasan Bintulu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik BDA, yang antara lain bertujuan menangani isu kenaikan harga rumah yang semakin ketara akibat ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran.
“Sekarang ini, satu bilik pun sewanya boleh mencecah RM1,000.
“Sebab itu kita buka kawasan baharu sehingga ke Tatau agar wujud keseimbangan antara penawaran dan permintaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Ramah Tamah BDA yang berlangsung di pekarangan Balai Raya Assyakirin di sini, hari ini.
Menurut beliau, kawasan seperti Tatau mempunyai potensi tanah yang luas, namun pendekatan baharu serta penggunaan teknologi pembinaan moden amat diperlukan bagi mengurangkan kos pembinaan rumah sekali gus menurunkan kos sara hidup rakyat.
“Tanah kita ada, tetapi kita perlukan teknologi yang boleh mengurangkan kos pembinaan.
“Jika ini dilaksanakan, kadar sewa rumah dapat diturunkan secara berperingkat,” jelasnya.
Tambah beliau, pembangunan ke Tatau adalah inisiatif baharu kerajaan negeri bagi memastikan rakyat menikmati kehidupan sejahtera dan akses kepada rumah mampu milik, khususnya di kawasan pesat membangun seperti Bintulu. – UKAS