ADAB adalah merujuk kepada seperangkat nilai, norma atau aturan yang mengatur perilaku individu atau kelompok dalam interaksi sosial. Aspek ini mencakupi etika, tata krama, sopan santun, serta nilai-nilai yang dijunjung tinggi dalam suatu budaya atau masyarakat. Tata krama misalnya ialah aturan berperilaku dan bersikap dalam kehidupan sehari-hari yang membawa perilaku menjadi lebih menghargai dan menghormati orang lain.
Tata krama berasal daripada perkataan ‘tata’ dan ‘krama’. Tata bererti aturan, norma, atau adat. Krama bererti sopan santun, perilaku santun, tingkah laku yang santun, bahasa yang santun, tindakan yang santun. Maka, tata krama adalah aturan kehidupan yang mengalir dalam hubungan antara manusia. Ia juga berkaitan erat dengan etika. Tingkah laku seseorang yang mempunyai etika bermaksud individu tersebut mempunyai nilai tata krama.
Tatakrama sebagai faktor pelentur sosial
Apabila tata krama tercetus banyak manfaat terhasil. Antaranya ialah dapat memudahkan hubungan baik dengan orang lain dengan cara melenturkan cara kita bertindak dengan sopan dan menghormati. Ia juga mampu menghasilkan kedamaian dalam kehidupan sosial apabila adab dipraktikkan, maka suasana tenteram dan harmoni tercipta dalam kehidupan sosial.
Tata krama mampu mengelakkan berlakunya konflik. Adab yang dipatuhi dapat membantu mengurangkan kemungkinan konflik dengan cara kita bertindak dengan penuh hormat dan menghindari sikap yang memicu sebarang perlawanan atau pertentangan. Seterusnya, ia mampu melancarkan perhubungan mesra dengan pihak lain dan ini memudahkan proses interaksi dan komunikasi dengan orang lain.
Amalan bertata krama menjadikan seseorang itu disegani, dihormati dan disenangi orang lain. Hal ini berlaku apabila adab dipelihara akan memberikan cetusan kasih sayang, penghormatan, penghargaan hasil daripada interaksi sosial. Penghayatan tinggi terhadap hidup secara tata krama dapat memberikan keyakinan pada diri sendiri dalam setiap keadaan. Hal ini berlaku apabila memahami aspek adab, seseorang itu dapat memperoleh keyakinan diri yang lebih tinggi dalam menghadapi pelbagai situasi kehidupan ini.
Seterusnya akan dapat mencetuskan suasana yang lebih baik dan harmoni dalam pelbagai suasana sama ada pergaulan, keluarga, rakan-rakan atau di tempat bekerja nanti. Apabila tata krama menjadi panduan, maka aspek ini akan mewujudkan kesedaran orang lain akan pentingnya bertata krama seperti menunjukkan teladan yang baik, maka kita dapat membantu meningkatkan kesedaran orang lain tentang kepentingan bertindak sopan dan saling menghormati.
Beraya dan interaksi sosial
Sekiranya kita menelaah aspek tata krama dan adab ketika menziarahi rumah orang semasa Hari Raya dari sudut pandang ilmu antropologi akan membawa kita kepada pemahaman tahap dan suasana tradisi ini yang membentuk interaksi sosial dalam memperkuat hubungan dalam masyarakat.
Antaranya ialah aspek simbolisme sosial dan ini berlaku apabila berlakunya kunjungan ke rumah orang lain semasa Hari Raya bukan hanya merupakan tindakan sosial, tetapi juga memiliki makna simbolik yang mendalam, menandakan pertukaran sosial antara individu dan kelompok dalam masyarakat.
Ziarah Hari Raya dapat menjadi indikator status sosial atau hubungan antara keluarga. Sebagai contoh, kunjungan yang lebih sering atau lengkap dapat menandakan kedekatan atau hubungan yang erat antara keluarga atau individu. Ia juga dirujuk kepada kunjungan kepada golongan yang lebih tua, kanan, lebih dihormati dan berperanan penting dalam sebuah keluarga besar. Di sisi lain, kurangnya kunjungan atau kunjungan yang singkat mungkin mencerminkan kurangnya kerapatan atau jarak sosial antara keluarga atau individu.
Aspek adab interaksi dapat dilihat dalam konteks kunjungan Hari Raya yang merupakan ‘ritual’ interaksi sosial, iaitu norma-norma budaya dan tata krama diikuti dan ini termasuklah penggunaan bahasa sopan, pakaian yang sesuai, dan tindakan-tindakan tertentu seperti memberikan hadiah atau sedekah. Penggunaan ungkapan “Selamat Hari Raya” dan “Maaf Zahir dan Batin” serta memperhatikan norma-norma komunikasi yang sopan seperti tidak memperdebatkan topik-topik kontroversi atau sensitif dalam kalangan tetamu dan tuan rumah.
Reproduksi budaya
Aspek ini merujuk kepada proses suatu budaya, termasuk norma, nilai, tradisi, dan institusi, dipertahankan dan diteruskan dari satu generasi ke generasi berikutnya dan ini melibatkan aspek pembelajaran, penyertaan, peniruan, dan penerapan amalan-amalan budaya dalam kehidupan sehari-hari oleh ahli-ahli masyarakat.
Dalam konteks reproduksi budaya, ahli masyarakat mengambil bahagian dalam amalan budaya yang ada melalui interaksi sosial, pendidikan formal dan informal, serta melalui proses sosialisasi keluarga dan komuniti dan ini membantu memastikan kelangsungan budaya dan identiti masyarakat dari waktu ke waktu.
Contoh reproduksi budaya ialah apabila ibu bapa mendidik anak-anak mereka adab-adab menyambut hari raya yang sesuai dengan konsep sunnah dan al-Quran. Mendidik menjadi penyabar, kasih sayang dan memberikan kemaafan sempena Aidilfitri adalah antara contoh.
Kesinambungan tradisi
Tradisi-tradisi lazim yang ditransmisikan atau diturunkan dari satu generasi ke satu generasi seperti amalan solat Aidilfitri, berinfaz, berzakat dan mengukuhkan lagi hubungan sosial dengan keluarga dan jiran tetangga. Seterusnya mengenakan pakaian tradisional sesuai dengan budaya setempat seperti baju kurung, baju Melayu atau bersongkok adalah sebahagian daripada reproduksi budaya.
Masyarakat mempertahankan tradisi ini dengan memakai pakaian tersebut dan mendorong generasi muda untuk turut melakukannya. Begitu juga menu khas seperti ketupat, lemang, kuih raya adalah apek penting daripada reproduksi budaya. Kesemua resepi ini dari satu generasi ke satu generasi dan proses menghasilkannya memperkuat ikatan sosial keluarga dan komuniti. Selain itu, aspek kunjung berkunjung, bersalaman dan ini mempertahankan aspek nilai seperti penghargaan kepada orang tua.
Kunjungan ke rumah orang lebih tua, teman dan tetangga termasuk amalan salam-salaman, doa-doa, dan interaksi sosial teman adalah contoh reproduksi budaya. Nilai-nilai seperti penghargaan terhadap orang tua, kesopanan, dan reproduksi budaya ini penting bagi masyarakat untuk mempertahankan identiti, mewariskan pengetahuan dan nilai-nilai, serta memberikan mekanisme stabil untuk interaksi sosial dan pembangunan sosial.
Kesepaduan sosial
Sebenarnya kunjungan Hari Raya memainkan peranan penting dalam memperkuat kesepaduan sosial dan ini melibatkan pengukuhan hubungan antara individu dan kelompok melalui interaksi langsung, saling menghormati, dan memperlihatkan kasih sayang. Dalam tradisi balik kampung dan berkumpul sekeluarga besar beraya adalah contoh interaksi sosial yang padu dan saling menghormati antara anggota keluarga yang berkumpul.
Misalnya, suasana kebersamaan mampu tercipta, berkongsi cerita, ketawa bersama dan saling memberikan dukungan sosial dan emosional berlaku. Dalam acara bersama seperti jamuan makan, pertemuan keluarga dengan keluarga yang lain mampu memperkuat kesepaduan sosial dengan menciptakan kesempatan untuk berinterasi, berkongsi emosi dan merayakan aspek kebersamaan.
Penerimaan dan penghormatan
Dalam konteks aspek identiti dan penerimaan ziarah Hari Raya dapat berperanan dalam memperkuat identiti sosial individu dan ketika inilah mereka berasa diterima dan diakui oleh keluarga dan komuniti. Dengan kata lain, melalui ziarah tersebut, seseorang memperoleh pengakuan sosial dan afiliasi dengan kelompok. Contohnya, seseorang yang baru saja berkahwin dapat berasa diterima secara rasmi oleh keluarga pasangannya selama ziarah dan aktiviti berhari raya termasuk balik kampung dan meraikan bersama-sama.
Aspek ini juga adalah satu penghormatan secara tradisi melalui tindakan ziarah dan kepatuhan terhadapi adab dan norma yang telah ditetapkan, menunjukkan penghormatan terhadap tradisi dan nilai-nilai budaya yang dipegang oleh masyarakatnya. Pematuhan tata krama dan interaksi sosial jika difahami dari sudut ilustrasi daripada sudut pandang ilmu antropologi, maka ia bukan sekadar kelaziman sosial akan tetapi sebenarnya juga sebahagian penting daripada struktur sosial dan kehidupan masyarakat.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).