
BAU: Tasik Biru terus melakar transformasi sebagai destinasi pelancongan ikonik apabila majlis pelancaran Nyalaan Lampu di Jambatan Tasik Biru dan Pentas Hiburan berlangsung dengan meriah di Tasik Biru Resort City, di sini, malam tadi.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep pada majlis penyempurnaan perasmian, menyifatkan pencahayaan berwarna-warni di sekitar jambatan tersebut bukan sekadar elemen estetik, malah menjadi simbol kemajuan serta usaha berterusan dalam memperkasakan sektor pelancongan di daerah Bau.
“Pemasangan lampu hiasan ini bukan sahaja memperindah suasana Tasik Biru, khususnya pada waktu malam, malah menjadi tarikan baharu yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke sini,” katanya.
Jambatan yang kini dibuka secara percuma kepada orang ramai menjanjikan pengalaman unik, terutama apabila disinari lampu-lampu berwarna-warni yang mencetuskan suasana romantik dan mempesona, sesuai dijadikan latar belakang fotografi atau lokasi santai bersama keluarga.
Henry, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, turut merakamkan penghargaan kepada semua pengunjung serta pihak yang terlibat dalam pembangunan Tasik Biru Resort City.
Beliau menzahirkan harapan agar kawasan ini terus kekal sebagai destinasi pelancongan utama di Sarawak.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan hiburan di pentas utama, yang berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus menyerlahkan potensi Tasik Biru sebagai pusat pelancongan berorientasikan komuniti.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Pesta Tasik Biru 2025, yang sedang berlangsung sehingga 25 Mei ini, dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi.