UNTUK ALBUM… Janet Chua wakil dari Pristine House & Harta-Maintenance Sdn Bhd, Michael Tiang, Robert Lau dan yang lain merakam gambar berlatarbelakangkan lukisan mural hasil sentuhan artis Jagung di Sibu, semalam.
SIBU: Ruang terbuka di belakang bangunan lama di Jalan Ramin dekat sini akan menjadi satu lagi daya tarikan baharu di Sibu apabila lokasi itu akan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan dengan hiasan mural pada dinding belakang membabitkan tujuh blok bangunan.
Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang berkata, langkah membangunkan kawasan itu adalah bagi meningkatkan kemasukan pelancong domestik ke Sibu dari sekitar wilayah tengah dan seluruh Sarawak.
“Dengan usaha sedemikian, saya yakin kita mampu mewujudkan satu lagi tarikan baharu di Sibu untuk pelancong atau tempat anak muda untuk berkumpul.
“Ini adalah tujuan utama kita iaitu untuk mentransformasi kawasan ini dengan pelbagai reka bentuk mural dari anak seni tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada simbolik perasmian bahagian pertama projek lukisan mural pada dinding belakang bangunan Kelab Rekreasi Raminway, semalam.
Menurut Tiang, beliau tertarik dengan idea dan visi Presiden Kelab Rekreasi Raminway Richard Lee Ning untuk memberi nafas baru di kawasan berkenaan, dalam masa yang sama memulihara seni bina asal bangunan tersebut.
Beliau berkata, disebabkan bangunan ini adalah bangunan lama yang belum boleh dianggap sebagai bangunan warisan, jadi ramai pemilik merobohkannya atau menaik taraf bangunan mereka, sekali gus melenyapkan elemen-elemen nostalgik bangunan lama di Sibu.
Sehubungan itu, untuk bahagian pertama projek mural ini, katanya, beliau bersama Ahli Dewan Negara (Senator) Robert Lau Hui Yew dan seorang lagi rakan kongsi iaitu Pristine House & Harta- Maintenance Sdn Bhd bersetuju untuk menjadi penaja utama.
Katanya, bahagian pertama mural dari keseluruhan projek yang menelan kos RM40,000 itu adalah gambaran awal kepada keseluruhan projek yang dijangka siap dalam tahun ini.
“Projek lukisan mural yang dirasmikan hari ini merupakan sentuhan seni anak tempatan iaitu Aries Kong a.k.a Jagung yang berjaya disiapkan awal Februari lalu.
“Untuk bahagian lain mungkin kita akan menjemput pelukis-pelukis lain, jadi kita akan mempunyai lukisan mural dari pelbagai reka bentuk dan gaya,” katanya.
Bagi bahagian projek mural membabitkan blok-blok bangunan selebihnya, katanya, beliau akan memohon dana dari Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.
Beliau juga katanya, telah bertemu dengan beberapa pemilik bangunan tersebut dan mereka menyambut baik idea untuk projek ini.
“Sudah tentu bukan untuk lukisan mural sahaja, tetapi kita juga bercadang untuk mentransformasikan kawasan ini kepada bazar untuk usahawan muda atau bazar pada hari minggu untuk menarik pengunjung khasnya pelancong domestik,” ujarnya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD