
KUALA LUMPUR: Sebagai seorang yang pendiam dan pemalu sejak kecil, jejaka berusia 24 tahun ini tidak pernah membayangkan dirinya menjadi tumpuan ribuan mata dan mampu berceloteh tanpa henti di depan kamera selama lima jam sehari.
Namun hasrat mengubah diri membuatkannya memilih kerjaya sebagai pengacara jualan siaran langsung bagi jenama fesyen lelaki Zeve, yang seterusnya membuka lembaran baharu buat Maxximus Towle apabila dia kini menjadi antara wajah paling dikenali di TikTok Live.
Bermula dengan menjual aksesori peranti dan produk penjagaan kulit, Maxximus kini menarik ribuan penonton setiap kali bersiaran langsung, bukan sahaja kerana kemahiran mempromosikan barangan, tetapi juga kerana penampilan dan rupa parasnya yang menawan, membuatkan ramai netizen tidak berganjak meskipun tidak berniat membuat pembelian.
Bercerita tentang permulaan penglibatannya dalam bidang tersebut, jejaka berketurunan Serani dari Johor itu berkata dia berhasrat mencabar diri melakukan sesuatu yang baharu selepas melakukan pelbagai pekerjaan usai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sekitar 2023, saya memohon kerja sebagai live host ini bukan sahaja menjadi sumber rezeki tapi saya anggap sebagai latihan untuk ubah diri saya,” katanya kepada Bernama.
Menurut lelaki berketinggian 175 sentimeter ini, kerjaya sebagai hos siaran langsung mungkin kelihatan mudah di mata penonton, namun realitinya menuntut ketahanan emosi, kekuatan tenaga dan kemahiran mengawal komunikasi.
“Ada hari kita rasa penat atau emosi tidak stabil, tapi apabila dah on live, kita kena senyum dan kawal diri. Kita juga perlu melayan pelbagai soalan daripada pelanggan,” katanya lagi.
Menurut Maxximus, fokus utamanya bukan sahaja memperkenalkan produk, tetapi juga memastikan penonton kekal menonton dan “memancing” minat mereka untuk membeli.
“Kita perlu tahu bila nak serius, bila nak selitkan humor. Kalau penonton bosan atau hilang minat, mereka boleh keluar serta-merta. Jadi setiap minit perlu dikawal,” katanya.
Selain tekanan dari segi emosi, dia juga perlu berdepan dengan pelbagai komen penonton termasuk yang bersifat peribadi dan tidak relevan dengan produk jualan.
“Kita perlu menapis komen dan ambil yang penting untuk produk serta abaikan yang lain. Kalau kita layan semua, kita sendiri boleh hilang fokus, tapi saya faham niat mereka hanya untuk bergurau,” jelasnya.
Pada masa sama, anak muda ini berkata populariti juga membawa cabaran lain, termasuk isu keselamatan dan privasi apabila ada individu yang cuba mengesan tempat tinggalnya.
Sebagai pekerja sepenuh masa, Maxximus perlu mencapai petunjuk prestasi utama dari segi jualan serta tontonan, dan bagi memastikan prestasinya konsisten, dia kerap berbincang dengan pengurus selain menilai semula rakaman siaran terdahulu.
Maxximus juga menjadikan bapanya yang pernah bekerja sebagai jurujual sebagai sumber inspirasi dan mengakui banyak belajar daripada cara bapanya berkomunikasi dan menjual produk dengan yakin.
Dia turut yakin kerjaya dalam bidang siaran langsung itu mempunyai masa depan yang panjang, selaras dengan perubahan gaya hidup pengguna yang lebih cenderung membeli dalam talian selain menjimatkan kos operasi syarikat.
“Tak perlu sewa kedai, cukup dengan satu platform dan seorang hos. Saya yakin kerjaya ini mampu menjadi satu karier pilihan terutama untuk golongan muda pada masa akan datang,” ujarnya yang turut memasang impian untuk bergelar pelakon.
– Bernama