MEMBUAT PARIT… Kelihatan sebuah jentera berat yang digunakan untuk membuat parit dalam ladang bagi mengelakkan banjir.
Penanaman sawit yang semakin meluas terutamanya dalam kalangan belia menjadi pendorong untuk belia lain menjadikannya sebagai sumber rezeki dalam menyara keluarga.
Pendapatan yang lumayan dengan harga minyak sawit mentah juga menyebabkan ramai belia mula menggorak langkah dalam menjadikannya pekerjaan utama mereka.
Hanya berpandukan ilmu yang dikongsikan oleh rakan-rakan dan pengusaha tanaman kelapa sawit yang lain, Sheme Danu, 34 yang berasal dari Kampung Nangar Kecil, Daro kini mampu menikmati hasil yang lumayan setiap bulan dengan tanaman sawit yang diusahakannya.
“Saya mula menanam sawit pada 2012 dengan menggunakan modal saya sendiri dan berpandukan nasihat serta ajaran yang dikongsikan oleh rakan-rakan dan saudara mara yang lebih dahulu menanam sawit.
“Pada awalnya saya sememangnya menghadapi kesukaran namun saya gagahkan hati saya percaya pada akhirnya ia akan membuahkan hasil yang lumayan,” katanya.
Dalam pada itu, Sheme yang merupakan anak kedua daripada enam adik beradik mengakui pendapatan yang diperolehnya dengan mengusahakan sawit mampu digunakan untuk menyara keluarganya meskipun beliau tidak ‘bekerja makan gaji bulan’.
Tambahnya, penanaman kelapa sawit yang dahulunya dimulakan dengan 400 pohon kini mula mencecah 1,300 pohon dengan hasil pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan.
“Saya merancang untuk memperluas saiz tanaman pada masa hadapan meskipun banyak cabaran yang perlu dihadapi terutamanya dalam penjagaan pokok kelapa sawit yang masih kecil.
“Untuk penjagaannya, saya meracun rumput sebanyak dua kali dalam sebulan bagi memastikan rumput tidak tumbuh terlalu tinggi hingga menjejaskan pertumbuhannya terutamanya anak-anak pokok sawit.
“Selain itu, proses membaja dilakukan dua kali dalam setahun bagi memastikan pokok sawit dapat menghasilkan buah yang baik dan berat,” kongsi beliau ketika diminta memberikan tips beliau dalam penjagaan pokok kelapa sawit yang diusahakannya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA