
MEXICO CITY: Menteri Ekonomi Mexico Marcelo Ebrard mengkritik keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan tarif import keluli kepada 50 peratus, menyifatkannya sebagai langkah yang “tidak mampan”, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada Selasa, Presiden AS Donald Trump secara rasmi mengisytiharkan keputusan untuk menggandakan tarif perdagangan ke atas keluli dan aluminium kepada 50 peratus bermula 4 Jun.
“Ia tidak adil, tidak mampan, dan kami akan mengemukakan hujah kami pada Jumaat bagi memastikan Mexico dikecualikan daripada langkah ini kerana ia langsung tidak masuk akal,” kata Ebrard kepada pemberita pada Selasa.
Menteri itu meragui tarif berkenaan boleh dikekalkan untuk jangka masa panjang, dengan berkata ia akan menjejaskan industri di kedua-dua negara memandangkan keluli digunakan terutamanya dalam industri automotif, pembinaan dan elektronik.
“Saya anggap ia tidak adil kepada Mexico kerana AS mempunyai lebihan dagangan dengan Mexico,” katanya. “Tidak masuk akal untuk mengenakan tarif ke atas produk yang anda ada lebihan. Biasanya tarif dikenakan jika ada defisit, bukan lebihan,” tambahnya.
Pada akhir Mac, Ebrard berkata tarif 25 peratus yang diumumkan Trump terhadap sektor automotif tidak akan dikenakan ke atas kereta dari Mexico. – Bernama