
KUCHING: Pelaksanaan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) sebanyak 24 peratus terhadap barangan import dari Malaysia berkuat kuasa hari ini, 9 April, secara ketara tidak menjejaskan ekonomi Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata hal ini kerana ekonomi Sarawak tidak bergantung kepada pasaran negara berkenaan.
Menurut Abang Johari, antara komoditi utama yang dikeluarkan Sarawak ialah gas asli cecair (LNG), dan minyak kelapa sawit yang dieksport ke negara-negara seperti Jepun, Korea, China, dan India.
“Tarif ini tidak menjejaskan Sarawak secara ketara kerana eksport kita ke Amerika Syarikat adalah minimum, manakala komoditi utama kita iaitu LNG kebanyakannya dieksport ke Jepun dan sebahagian lagi ke Korea.
“Komoditi kedua terbesar ialah kelapa sawit yang banyak dieksport ke China dan India.
“Selain itu, barangan lain juga dieksport ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU),” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 anjuran Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Dato Sri Naroden Majais, hari ini.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, serta Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee.
Mengulas mengenai industri semikonduktor, Abang Johari menjelaskan bahawa cip semikonduktor yang dikeluarkan di Sarawak sebahagian besarnya dieksport ke negara-negara Eropah.
“Secara keseluruhannya, industri yang terjejas bagi Malaysia ialah eksport semikonduktor.
“Namun bagi Sarawak, cip semikonduktor kita banyak dieksport ke EU dan kesannya tidak begitu besar.
“Sekiranya ada pun, impaknya adalah sangat minimal terhadap industri tersebut,” katanya lagi.
Untuk rekod, sebelum ini Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas import dari Malaysia sebagai sebahagian daripada gelombang perang perdagangan global.