
KUALA LUMPUR: Tarif Amerika Syarikat (AS) akan menjadi fokus utama pada mesyuarat menteri-menteri ekonomi ASEAN-AS dan para pegawai perdagangan AS dari 22 hingga 23 April depan.
Kemboja adalah penyelaras negara untuk dialog ASEAN-Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh 2024-2027 dan akan menjadi tuan rumah mesyuarat tersebut.
Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Horn memberitahu walaupun adalah perkara biasa bagi negara untuk respons secara individu terhadap tarif itu, ia juga penting untuk mengambil keputusan kolektif dalam menanganinya.
“Ketika ini, masih terlalu awal untuk melihat bagaimana tarif AS ini akan berfungsi tetapi pastinya bagi ASEAN, kami komited kepada sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan terbuka yang memberi manfaat kepada kami selama beberapa dekad,” katanya ketika ditemui di luar Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM).
Sebagai penyelaras negara untuk hubungan dialog ASEAN-AS, peranan Phnom Penh adalah penting dalam mengetuai negara anggota ASEAN untuk membincangkan mengenai mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara negara-negara di Asia dan AS.
Bagaimanapaun, setiap negara anggota mempunyai prerogatif kedaulatan untuk bertindak balas atas dasar sesebuah negara.
Kao yang berasal dari Kemboja berkata di peringkat serantau, ASEAN dan AS telah menjalin kerjasama ekonomi menerusi pelbagai pengaturan.
“Sehubungan itu, adalah tepat pada masanya untuk mempertimbangkan bagaimana ASEAN boleh menggalakkan kepentingan kolektif rantau ini,” katanya merujuk kepada tarif timbal balik yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump pada April dan ia dihentikan sementara selama 90 hari bermula 9 April.
Kemboja paling teruk terjejas, kadar tarif dikenakan sebanyak 49 peratus, Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), Myanmar (44 peratus), Thailand (36 peratus), Indonesia (32 peratus), Brunei dan Malaysia masing-masing 24 peratus, Filipina (17 peratus) dan Singapura dikenakan tarif asas pada 10 peratus.
“Kita harus bersatu, membina kepentingan kolektif kita kerana melalui perpaduan dan solidariti, ASEAN akan menjadi lebih kuat,” katanya.
Beliau berkata adalah penting bagi ASEAN dan AS untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan kerana kedua-dua pihak akan menyambut ulang tahun ke-50 pada 2027.
“Oleh itu adalah penting untuk terus membina hubungan kukuh dengan AS dan menumpukan kepada semangat kerjasama yang wujud antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata, itu sebabnya kita perlu melihat bagaimana kita boleh meminimumkan kesan daripada isu tarif berkenaan dan cara untuk mengukuhkan ASEAN sendiri pada waktu yang mencabar ini.
Adalah penting bagi pemimpin dan menteri negara anggota ASEAN mengadakan pertemuan dengan lebih kerap dan memikirkan cara memastikan ekonomi ASEAN kekal berdaya tahan.
Pagi ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mempengerusikan mesyuarat secara maya Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) untuk mengeluarkan kenyataan bersama mengenai pendirian ASEAN untuk tidak bertindak balas terhadap AS tetapi berbincang dengan Washington dalam dialog yang membina dan berterus-terang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengadakan perbincangan menerusi perbualan telefon dengan pemimpin Indonesia, Filipina, Brunei dan Singapura mengenai perkara itu. – Bernama