
PHNOM PENH, Kemboja: Tarian klasik Khmer yang berusia lebih 1,000 tahun kini menghadapi ancaman daripada perubahan hiburan moden, kekangan kewangan, dan minat pelajar yang menurun.
Penh Yom, 78, seorang penari master yang selamat daripada rejim Khmer Rouge, menekankan pentingnya generasi muda mempelajari seni ini.
“Sekarang saya bimbang ia akan hilang. Kami terus menggalakkan generasi muda berlatih bagi membantu memelihara seni ini,” katanya.

Sekolah Seni Halus Menengah di Phnom Penh, pusat latihan utama, merekodkan penurunan pelajar baharu tahun ini kepada 39 orang, hanya separuh daripada biasa.
Latihan tarian ini memerlukan kesabaran tinggi, termasuk mengira hingga 100 untuk membengkokkan jari dengan betul.
“Saya perlu memerhati mereka dari rambut hingga hujung kaki supaya mereka boleh menjadi pewaris kami. Sekarang zaman moden, banyak yang terpengaruh dengan telefon pintar, tapi kami ingatkan mereka supaya tidak melupakan identiti kita,” kata guru Hang Sophea.

Sesetengah pelajar menggunakan media sosial untuk mempromosikan seni ini.
“Budaya ini sangat indah. Saya mahu menjadi penari tradisional dan memeliharanya,” kata Tola Thina, 18.
UNESCO mengiktiraf tarian klasik Khmer sebagai warisan budaya tidak ketara pada 2003, tetapi menegaskan seni ini berisiko menjadi sekadar tarikan pelancong jika tidak dipelihara.
-AFP