Tarian singa merupakan tarian yang sinonim dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, tanpa persembahan tarian singa perayaan itu seakan-akan hambar kerana mengikut kepercayaan kaum Cina tarian ini mampu membawa tuah dan kekayaan selain membuang semangat jahat pada tahun baharu.
Tarian asalnya didominasi kaum Cina, hari ini ia berkembang dan turut ‘dikuasai’ masyarakat berbilang kaum Malaysia seiring semangat Keluarga Malaysia, malah Negeri Di Bawah Bayu di sini bukan sesuatu yang asing apabila anak muda pelbagai kaum mempelajari, bergiat aktif dan menjadi penari profesional tarian itu.
Bagi penari Maizur Maistan, 19, minat terhadap tarian singa mula berputik di jiwanya sejak kecil lagi selepas menyaksikan tarian singa setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina dan mula mendalami gerak tari dan langkah tarian singa.
Minat yang mendalam, mendorong Maizur menyertai Kelab Sukan Leong Sin sejak empat tahun lepas dan berpeluang mengadakan persembahan setiap tahun, malah kesungguhannya berlatih dan kelincahannya membuat aksi akrobatik atas tiang meyakinkan jurulatihnya untuk memberikannya tanggungjawab membawa kepala singa sewaktu mengadakan persembahan.
“Bukan soal bayaran tapi sebab saya minat, lagi pun sebagai rakyat Malaysia kita kena pelajari budaya dan tradisi semua kaum di negara ini,” katanya yang ditemui Bernama selepas mengadakan latihan di sini.
CAMBAHKAN MINAT
Aksi akrobatik dan lompatan dari tiang ke tiang telah mencambahkan minat Ihwansyah Azroy untuk mempelajari tarian singa ketika usianya menginjak 13 tahun.
“Jurulatih banyak membantu saya menguasai tarian ini,” kata anak muda berusia 20 tahun itu yang sudah enam tahun mengadakan persembahan tarian singa.
Pengerusi dan juga jurulatih tarian singa Kelab Sukan Leong Sin Sandakan, Huang Yuk Leong berkata tarian singa hari ini bukan lagi tarian kebudayaan kaum Cina sahaja, tetapi ia boleh disertai oleh semua kaum di negara ini.
“Apa kaum dan apa bangsa semua boleh, yang penting minat dan mampu main tarian singa ini, tiada sekatan atau halangan untuk menyertainya. Saya harap tarian singa terus berkembang luas dan diterima semua kaum,” katanya ketika ditemui Bernama di tapak latihan tarian singa kelab itu.
Yuk Leong mula mempelajari tarian singa sejak 1984 dan bergelar jurulatih pada awal tahun 90-an sebelum menubuhkan kelab sendiri pada 2014 dan sepanjang pembabitannya beliau memenangi banyak pertandingan tarian singa sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
CABARAN MELATIH 30 ANAK MUDA
Ditanya cabaran melatih 30 anak muda pelbagai kaum di kelabnya sejak lapan tahun lepas, beliau berkata ia adalah dari segi bahasa terutama melibatkan peralatan yang susah untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
“Masing-masing ada tradisi, jadi mereka kena faham tradisi dan ini mengambil masa, baru mereka boleh menguasai,” katanya.
Menurut Yuk Leong kelabnya tidak menghadapi masalah penglibatan kaum Melayu malah lebih yakin dengan kebolehan anak Melayu yang aktif dalam bidang itu dan turut memuji semangat yang dipamerkan mereka.
Berhubung pandangan negatif sesetengah pihak terhadap penglibatan kaum lain dalam tarian tradisi kaum Cina itu, beliau berkata tarian singa kini dimainkan oleh semua kaum bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia sehingga adanya pertandingan tarian singa peringkat antarabangsa.
Yuk Leong juga amat bersyukur pada tahun ini kerajaan negeri memberi kebenaran untuk mereka mengadakan persembahan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selepas mereka tidak dapat mengadakan persembahan pada tahun lepas akibat pandemik COVID-19.
Walaupun tempahan yang diterima tahun ini merosot hampir separuh berbanding dulu namun kebenaran yang diberikan telah mengembalikan semangat ahli persatuan untuk berlatih dan berharap dapat membuat persembahan pada setiap sambutan Tahun Baharu Cina. – Bernama