
SERIAN: Sambutan Gawai Dayak di Kampung Pichin bukan sekadar perayaan tahunan, tetapi satu usaha gigih masyarakat Bidayuh dalam mengekalkan dan memelihara warisan budaya nenek moyang mereka di tengah arus kemodenan.
Pakaian tradisional, irama gong, permainan rakyat ‘mironcong’ serta persembahan tarian kebudayaan yang diadakan semalam menyerlahkan komitmen penduduk kampung terhadap kelestarian budaya mereka.
Antara persembahan yang mencuri tumpuan ialah Tarian ‘Nantang Julu’ yang unik kerana melibatkan tujuh lelaki membawa seekor ayam kampung yang merupakan satu simbolik yang diwarisi sejak turun-temurun.

Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem memuji kesungguhan masyarakat kampung dalam mempertahankan warisan mereka.
“Saya amat bangga dengan usaha penduduk Kampung Pichin yang tidak hanya menyambut Gawai, tetapi turut menjadikan ia medan untuk mempersembahkan keunikan budaya Bidayuh.
“Budaya seperti ini yang harus dipelihara dan diwariskan agar tidak pupus ditelan zaman,” katanya ketika ditemui semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan sambutan Gawai perlu diteruskan setiap tahun bukan sahaja sebagai simbol perpaduan, tetapi sebagai cara memartabatkan budaya tempatan di mata generasi muda dan pengunjung luar.
“Sambutan ini bukan sekadar pesta, tetapi ruang penting untuk memperkenalkan budaya kita kepada dunia luar.
“Ia mampu membina rasa bangga dalam kalangan anak muda terhadap identiti mereka,” tambah beliau.
Menariknya, sambutan kali ini turut menarik kehadiran pengunjung dari pelbagai kaum termasuk dari kaum Cina yang datang jauh dari Sibu, Miri, dan Semenanjung Malaysia.
Kehadiran mereka membuktikan bahawa budaya Bidayuh mempunyai daya tarikan yang universal.
Dalam majlis yang sama, beliau turut merasmikan sebuah dewan kecil atau ‘balu’ yang siap dibina pada Oktober 2024 hasil peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos sebanyak RM526,000.
Beliau menggesa kemudahan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti sebagai pusat aktiviti sosial, kebudayaan dan pentadbiran kampung.
–UKAS