
BINTANGOR: Kemudahan komuniti terus diperkasa apabila penyediaan tapak perkuburan baharu Gereja BEM Bintangor telah siap di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Projek tersebut bermula pada 10 Oktober 2025 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 9 Januari 2026, melibatkan kos keseluruhan RM50,000.
Penyerahan projek dilakukan oleh Penolong Jurutera Awam Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sarikei, Shahrizal Saperi selaku wakil agensi pelaksana, semalam.
Ia turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Skop projek melibatkan kerja penyediaan tanah, pengukuhan struktur asas, penyusunan laluan akses, penambahbaikan sistem saliran serta penyediaan kawasan yang lebih teratur bagi tujuan pengebumian.
Koung Hiing berkata, semua kerja dilaksanakan bagi memastikan tapak perkuburan ini memenuhi keperluan jangka panjang komuniti gereja serta memudahkan pengurusan dan kunjungan keluarga pada masa hadapan.
“Tahniah dan sekalung penghargaan kepada pihak DID dan semua pihak terlibat atas pelaksanaan projek yang berjalan lancar dan mengikut jadual.
“Komitmen kerajaan Sarawak adalah untuk terus menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar, termasuk infrastruktur keagamaan yang menjadi sebahagian daripada ekosistem sosial masyarakat,” katanya ketika berucap semasa sesi penyerahan projek tersebut, semalam.
Katanya, dengan siapnya projek ini, Gereja BEM Bintangor kini mempunyai tapak perkuburan yang lebih teratur, selesa dan sesuai untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Ia selaras dengan usaha memperkukuhkan pembangunan luar bandar yang menyeluruh dan mampan,” katanya.
Oleh Earl Anek