
Imej satelit disediakan Maxar Technologies dan diambil pada 12 Februari 2025 menunjukkan pandangan keseluruhan kemudahan pengayaan Isfahan. - Foto AFP
ISTANBUL: Iran hari ini memaklumkan yang serangan terbaru Israel ke atas fasiliti nuklear Fordow berhampiran bandar Qom hanya menyebabkan kerosakan kecil dan tidak mengakibatkan sebarang pencemaran nuklear, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap kepada Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA), jurucakap Pertubuhan Tenaga Atom Iran Behrouz Kamalvandi memberikan perkembangan terkini berhubung keadaan tapak nuklear negara itu selepas serangan berkenaan.
“Tiada kerosakan ketara di kawasan sasaran di Fordow. Kami menjangka kemungkinan ini dan memindahkan sejumlah besar peralatan dan bahan ke lokasi lain terlebih dahulu,” katanya.
“Akibatnya, tiada kerosakan berskala besar dan tiada sebarang kebimbangan mengenai pencemaran radioaktif.”
Kamalvandi turut mengesahkan bahawa tiada kemalangan jiwa berlaku di mana-mana fasiliti nuklear di seluruh negara itu.
“Kami pernah mengalami kerosakan terhadap industri nuklear sebelum ini, tetapi kami membinanya semula setiap kali, malah lebih kukuh daripada sebelumnya.”
Pada awal pagi Jumaat, tentera Israel menyerang Iran dengan menyasarkan kemudahan nuklear dan peluru berpandu, menyebabkan lebih 104 orang terbunuh, termasuk komander tertinggi tentera dan saintis, serta mencederakan hampir 380 yang lain. – BERNAMA–ANADOLU