ROM: Seorang wanita bersama suaminya mendaki di sepanjang Pergunungan Alps, Itali menemui kesan tapak kaki berusia 280 juta tahun yang juga jejak pertama ekosistem prasejarah purba.
Memetik laporan New York Post, Claudia Steffensen, dari Lovero, sedang berjalan di sepanjang denai berbatu di taman alam semula jadi Valtellina Orobie bersama suaminya apabila dia memijak batu aneh yang dibawa ke permukaan oleh ais yang mencair.
“Saya meletakkan kaki saya di atas batu, apa yang mengejutkan ia kelihatan lebih seperti kepingan simen.
“Saya kemudian perasan reka bentuk pelik ini dengan garisan beralun. Saya melihat lebih dekat dan menyedari ia adalah tapak kaki,” katanya.
Steffensen, kemudiannya mengambil gambar tapak kaki itu dan berkongsi dengan rakan yang mengambil gambar alam semula jadi.
Gambar pejalan kaki itu akhirnya dibawa ke Muzium Sejarah Alam Milan, dengan pakar percaya tapak kaki itu adalah reptilia berusia sekitar 280 juta tahun.
Agli paleontologi Muzium Milan Cristiano Dal Sasso berkata dalam satu kenyataan bahawa, tapak kaki yang ditemui Steffensen adalah antara banyak makhluk yang berkeliaran di planet ini sebelum dinosaur.
“Dinosaur belum wujud, tetapi tapak kaki terbesar mesti masih mempunyai saiz yang besar iaitu sehingga 2 hingga 3 meter (6.5-10 kaki) panjang,” katanya.
Pakar menyatakan bahawa lokasi penemuan tersebut, kira-kira satu batu di atas paras laut, membantu memelihara jejak kaki sehingga termasuk cetakan kuku dan bahkan kulit, memberikan para saintis gambaran yang lebih jelas tentang haiwan yang pernah berjalan di kawasan tersebut.
Bersama-sama dengan tapak kaki, ahli paleontologi juga menemui serpihan fosil tumbuhan, benih dan juga kesan titisan hujan, melukis gambar bioma yang berkembang pesat di rantau Alps ini.
Penemuan Steffensen itu digelar sebagai Rock Zero dan kini dipamerkan di Muzium Sejarah Alam Milan.
“Saya berasa sangat bangga, terutamanya sudah membuat sumbangan kecil kepada sains,” kata Steffensen.