
SARIKEI: Tanjung Manis merupakan kawasan yang kaya dengan sumber asli dan keindahan alam semula jadi, menjadikan aktiviti memancing antara tarikan unik serta aktiviti rekreasi yang sangat digemari oleh penduduk tempatan dan pelawat dari luar.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, Safari Memancing Tanjung Manis 2025 menjadi platform terbaik untuk merapatkan hubungan dan mempromosikan jalinan silaturahim dalam kalangan masyarakat Tanjung Manis.
“Selain membuka peluang kepada kita untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kekeluargaan dalam komuniti, ia secara langsung meningkatkan usaha untuk mempromosikan potensi pelancongan dan sumber ekonomi setempat.
“Dalam pada masa yang sama, saya percaya ia dapat meningkatkan kesedaran kita tentang kepentingan memelihara alam sekitar dan sumber perikanan demi generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian safari memancing Tanjung Manis 2025 bagi kategori persisiran pantai di Terminal Ekspress Tanjung Manis, hari ini.
Katanya, penganjuran safari memancing ini merupakan satu peluang untuk menilai dan berkongsi perkembangan semasa di kawasan Tanjung Manis.
“Seperti yang kita saksikan, Tanjung Manis sedang mengalami pembangunan pesat yang penuh dengan harapan dan perubahan.
“Kemajuan dalam pembangunan infrastruktur telah membuka pintu kepada peluang baru dalam ekonomi dan sosial.
“Contohnya, projek Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi-Sibu/Tanjung Manis sepanjang 17-kilometer telah siap pada Mei lalu, sudah pastinya meningkatkan mobiliti dan hubungan perdagangan dalam kawasan ini,” katanya.
Tambahnya, selain itu, projek menaik taraf Lapangan Terbang Tanjung Manis juga sedang dilaksanakan dengan anggaran kos RM400 juta bagi fasa pertama.
“Ia bertujuan membolehkan pesawat bersaiz lebih besar seperti ATR72 beroperasi di sini.
“Ini akan memudahkan akses pengangkutan udara, sekaligus merancakkan lagi sektor pelancongan dan perniagaan di kawasan Tanjung Manis.
“Dalam sektor pertanian, Tanjung Manis bakal menjadi hab pengeluaran dan eksport nanas Sarawak yang utama.
“Ini adalah peluang keemasan dalam menggerakkan industri agro yang mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.
“Perancangan bagi merancakkan lagi pembangunan di Tanjung Manis juga tidak terhenti di situ,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan dan pihak berkepentingan sentiasa komited untuk menarik lebih banyak pelaburan, memperkukuh infrastruktur asas, serta menyediakan kemudahan yang lengkap demi kebaikan seluruh masyarakat.
“Sebagai wakil rakyat bagi P.206 Tanjong Manis, saya beri jaminan akan terus memperjuangkan pelbagai projek pembangunan demi memastikan Tanjung Manis, bukan sahaja menjadi pusat ekonomi yang maju tetapi juga tempat yang selesa dan sejahtera untuk didiami oleh generasi akan datang.
“Saya berharap melalui penganjuran safari memancing 2025 edisi ke-18 ini, kita semua dapat menikmati pengalaman yang bermakna dan meriah, sekali gus memperkukuhkan lagi perpaduan di antara masyarakat setempat,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek