
TANJUNG MANIS: Kawasan Tanjung Manis akan mengalami gelombang kedua pembangunan selepas dibuka 40 tahun yang lalu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah awal telah dimulakan oleh kerajaan Sarawak dengan menaik taraf lapangan terbang sedia ada dan jaringan pengangkutan darat seperti jambatan dan jalan raya.
“Saya pernah disuruh oleh Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semasa saya menjadi Menteri Perindustrian kira-kira 40 tahun dahulu untuk membuka Tanjung Manis. Kini, saya memulakan gelombang kedua pembangunannya supaya kawasan Kuala Rajang dan Tanjung Manis, termasuk seluruh kawasan Delta menjadi tumpuan pembangunan.
“Fokus utama adalah sektor pemakanan dan sektor pelancongan. Justeru, lapangan terbang kita perlu diperbesarkan agar pesawat besar dapat mendarat di Tanjung Manis,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Safari Memancing Tanjung Manis hari ini.
Selain itu katanya, kerajaan Sarawak turut mengambil inisiatif membangunkan hotel bertaraf antarabangsa, inap desa serta membangunkan tarikan seperti padang golf dan dalam masa yang sama membangun Pantai Belawai untuk tujuan ini.
Menurut Premier Sarawak, kemasukan pelancong asing ke Tanjung Manis secara langsung akan meningkatkan pendapatan penduduk yang mengusahakan industri inap desa dan makanan laut yang sinonim dengan masyarakat di sini.
“Kita dapat bawa pelancong dari Korea dan Jepun di mana kita sedia maklum bahawa makanan mereka seperti makanan kita juga iaitu ikan mentah iaitu ‘sashimi’, dan kita di sini ada umai yang hampir sama dengan makanan mereka, maka kita dapat perkenalkan umai kepada pelancong.
“Apabila mereka berbelanja, maka pendapatan penduduk di sini akan meningkat kerana sekiranya kita mengharapkan penduduk tempatan, ianya masih tidak mencukupi kerana populasi kita sedikit,” jelas beliau lagi.

Selain terkenal dengan makanan laut dan pelancongan, Tanjung Manis kini turut membangunkan penanaman padi dan dalam masa yang akan datang akan menerima pelaburan yang besar daripada Lembaga Nanas untuk penanaman nanas di Tanjung Manis dalam usaha memantapkan lagi keterjaminan makanan di Sarawak.
Menurut beliau, industri penanaman nanas ini nanti akan memanfaatkan aktiviti hiliran yang memberi pendapatan lebihan kepada penduduk dan dalam masa yang sama membuka banyak peluang pekerjaan baharu.
Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Foto UKAS