RAMAI teruja apabila Tanjung Embang, diumumkan sebagai lokasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) yang baharu dan bakal dilengkapi teknologi terkini, berinspirasikan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha.
Tidak kurang juga yang mengadu, pasal jarak jauh iaitu nada serupa di kebanyakan tempat.
Apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang baharu pada 1990-an, ramai merunggut kerana jaraknya ‘terlalu’ jauh, 60 kilometer (km) dari ibu negara.
Tetapi kerajaan ada perancangan tersendiri serta mengambil kira kesesakan di Kuala Lumpur serta keupayaan masa depan lapangan terbang Subang yang terhad.
Dari dahulu hingga sekarang Lebuh Raya Persekutuan dari Kuala Lumpur ke Subang sentiasa sesak tak kira waktu kecuali pagi Raya atau pagi Tahun Baharu Cina.
Akhirnya KLIA dibina dengan kos AS$3.5 bilion (ketika itu) dan dibuka secara rasmi pada 27 Jun 1998.
Kerajaan kemudian bina kereta api laju KLIA Ekspres yang dikendalikan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), bagi memudah serta mempercepatkan perjalanan KL Sentral-KLIA tanpa melalui kesesakan yang memeningkan dari pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Apakah kerajaan Sarawak merancang bina Sistem Aliran Transit Automasi (ART), Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) atau Monorel dari bandar raya Kuching ke Tanjung Embang suatu hari nanti?
Bayangkan pula apabila pusat pentadbiran Indonesia di Jakarta dipindahkan ke Kalimantan Timur, untuk dijadikan ibu kota baharu Nusantara (IKN).
Jakarta diduduki lebih 11 juta penduduk, padat dan masalah kesesakan semakin kritikal.
Rakyat terutama penjawat awam yang sudah selesa memiliki rumah sendiri di Jakarta, terpaksa berpindah jauh ke timur Borneo.
Bekas Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengambil langkah berani demi masa depan Jakarta yang sudah agak ‘tenat’ dengan pembangunan pesat dan jumlah kenderaan begitu banyak.
Jokowi mahu menseimbangkan keadaan, dan menghalakan pembangunan ke Nusantara yang masih belum membangun tetapi mempunyai kawasan luas sebagai bandar raya baharu.
Tindakan ini mirip langkah seperti di Amerika Syarikat dengan pusat pentadbiran di Washington, bukan di New York yang padat manakala Canberra adalah ibu kota Australia.
Malaysia juga sudah lama mengalihkan pusat pentadbiran dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.
Jika tidak, kawasan berdekatan Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan sekitar Bank Negara iaitu lokasi lama bangunan kerajaan, pasti menjadi terlalu padat, tidak selesa dan merimaskan.
SEBAB LOKASI JAUH
Di kebanyakan negara, apabila ada lapangan terbang berhampiran bandar, kebarangkalian ia lapangan terbang lama.
Begitu juga lapangan terbang (lama) Bintulu yang berada di tengah bandar dahulu, kini dijauhkan dari pusat bandar dan lebih besar.
Bayangkan kalau tidak dipindahkan? Sama juga halnya di Sibu, apabila lapangan terbang turut dipindahkan jauh dari pusat bandar.
Salah satu syarat berdekatan lokasi lapangan terbang ialah tidak boleh membina bangunan pencakar langit yang boleh menganggu laluan ruang udara dan sebab itu tiada bangunan terlalu tinggi dibina di Putrajaya kerana berdekatan KLIA.
Lapangan Terbang Hahn Frankfurt di Jerman, adalah sejauh 120km dari bandar raya Frankfurt iaitu salah satu destinasi dirancang untuk syarikat penerbangan milik Sarawak nanti.
Perjalanan mengambil masa lebih dua jam.
Begitu juga Lapangan Terbang Paris-Vatry sejauh 156km dari pusat bandar raya Paris.
Lapangan Terbang Heathrow, antara paling sibuk berada pada jarak 32km dari sentral London.
Meskipun Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta cuma 40km dari pusat bandar Jakarta, perjalanannya agak lama disebabkan masalah kesesakan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang ada sekarang, sudah pasti tidak mampu menampung keperluan untuk 10 atau 20 tahun akan datang.
Trafik udara di Kuching sekarang dikatakan semakin bertambah dan bangunan terminal sedia ada tidak mempunyai kemudahan mencukupi untuk menampung pertambahan penumpang.
Lagi pun kesesakan kini sudah terasa dari bandar raya Kuching ke lapangan terbang apatah lagi di laluan Kuching-Samarahan.
Oleh itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu sebuah lapangan terbang baharu dibina di Tanjung Embang.
Maknanya, ‘mengendurkan’ kepadatan dan kesesakan di bandar raya Kuching.
Masalah jarak jauh mungkin tidak timbul nanti, kerana lapangan terbang baharu itu bakal menjadi hab penerbangan serantau apatah lagi apabila Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri.
Ada yang berpendapat, biar lapangan terbang Kuching yang ada sekarang digunakan untuk penerbangan domestik seperti ke Sibu, Mukah, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas manakala lapangan terbang baharu di Tanjung Embang untuk penerbangan serantau seperti ke Jakarta, Bangkok, Singapura dan penerbangan antarabangsa seperti ke Korea, Jepun, China, Frankfurt, London dan Dubai.
Langkah ini serupa dengan lapangan terbang Subang yang banyak digunakan AirAsia untuk terbang ke Pulau Pinang, Alor Setar dan Pantai Timur.
Langkah ini, dikatakan menjimatkan kos tambang grab atau teksi bagi pengguna tempatan terutama yang mahu pergi atau bercuti di tengah bandar raya Kuching atau ke Serian dan Bau, tanpa perlu ke Tanjung Embang.
Bagaimanapun, kerajaan Sarawak mungkin ada perancangan tersendiri dalam hal ini.
Seperti kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pihaknya tidak melihat lokasi lapangan terbang baharu di luar Kuching kerana ia masih berada dalam kawasan lingkaran Kuching, iaitu di hujung sempadan bandar raya Kuching.
PELABUHAN LAUT DALAM
“Hanya tempat itu masih lagi dalam kawasan hutan, namun ia masih dekat.
Jika jambatan dan sebagainya dibina kelak dari BCCK (Pusat Konvensyen Borneo Kuching), lapangan terbang baharu itu nanti akan menjadi amat dekat sekali dengan bandar raya Kuching.
Tetapi sudah pasti hasil daripada pembangunan besar-besaran seperti ini akan memastikan ramai yang akan dapat manfaat termasuklah penduduk tempatan.
Jangka masanya tidak begitu jauh kerana sekarang ini kita akan mempunyai pesawat sendiri pada tahun ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya.
Lokasi lapangan terbangan di Tanjung Embang adalah berhampiran dengan pembinaan pelabuhan laut dalam baharu dan bersempadanan kawasan Dewan Undangan Negeri Asajaya, dalam Bahagian Samarahan.
Menurut Premier Sarawak, pihaknya turut membangunkan pelabuhan laut dalam baharu yang menempatkan terminal gas di kawasan laut Tanjung Embang sejauh 8 Kilometer (km).
“Jadi kita buat pelabuhan laut dalam baharu sehingga 8km. Kalau China dapat buat, kita juga dapat buat benda yang sama. Akhirnya Tanjung Embang akan bertukar wajah termasuk kawasan Sejingkat dan Damai. Ini adalah ekonomi baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut mendedahkan bahawa dua projek mega ini yang mengambil masa lima tahun untuk dibina, bernilai RM100 bilion.
Menurutnya, projek mega ini turut meningkatkan sosioekonomi penduduk dan sektor pelancongan di kawasan Kota Samarahan, Serian dan Lundu.
Untuk rekod, LTAK baharu direka untuk menampung sehingga 15 juta penumpang setiap tahun, yang diyakini menarik pelawat khususnya dari India, China dan negara-negara ASEAN, yang merangkumi kira-kira tiga bilion orang.
Lapangan terbang serba baharu itu nanti berinspirasikan model Lapangan Terbang Antarabangsa Doha yang menggunakan teknologi terkini.
Lapangan terbang antarabangsa di Tanjung Embang itu, mungkin siap menjelang 2030 iaitu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Tetapi dalam tempoh terdekat ini, Sarawak sudah memiliki syarikat penerbangan sendiri setelah ia mengambilalih syarikat penerbangan MASWings Sdn Bhd (MASWings) yang secara perundangannya sudah sah menjadi milik kerajaan Sarawak.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.