

LIMBANG: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada penduduk kampung di Long Sangih berjaya menemui sebuah tangki minyak semalam, dipercayai milik bot mangsa yang hilang.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan berkata petunjuk baharu itu dijumpai lebih kurang 10 minit dari tempat stesen bot berlabuh untuk pencarian.
Beliau berkata operasi SAR hari pertama dijalankan semalam bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Limbang dan penduduk kampung di lokasi yang mengambil masa kira-kira lima jam perjalan darat menggunakan laluan berbatu.
“Pada 12.07 tengah hari, semua agensi penyelamat tiba di Kampung Long Napir, dan operasi SAR di sungai dijalankan menggunakan dua bot milik penduduk kampung.”\
“Operasi SAR semalam diperluaskan dengan pencarian di hulu dan hilir sungai menggunakan lima bot milik penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi SAR disambung hari ini dengan berdepan cabaran cuaca yang tidak menentu.
Terdahulu, seorang warga emas Hendry Sian Tama Sian, 64 tahun dikhuatiri hilang ketika membaiki perahunya pada Rabu.
Oleh Adeng Edrus