

BINTULU: Tindakan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) menangkap ikan di kawasan kurang daripada jarak yang dibenarkan membawa kepada penahanannya oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu di perairan Tanjung Payung, semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, vesel berkenaan ditahan kira-kira 1.6 batu nautika barat laut Tanjung Payung sekitar 8.15 pagi ketika bot ronda Maritim Malaysia menjalankan Op PERMAI 01/2019, Op TIRIS 3.0 dan Op Pelantar Merah 03/2023.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut diawaki lima kru warga Indonesia termasuk nakhoda, berusia antara 21 hingga 52 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati vesel itu dipercayai melanggar syarat lesen di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan kurang daripada tujuh batu nautika seperti yang ditetapkan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pemilik vesel boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Vesel berkenaan bersama semua kru ditahan sebelum dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan bagi memastikan semua pengusaha perikanan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kelestarian sumber laut dan keselamatan perairan negara.
“Sebarang maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544,” katanya.
Oleh Carolyn Utih