LAWAS: Pengundi di Parlimen Lawas perlu menginsafi ‘tangisan pengundi Parlimen Selangau’ yang diabaikan oleh Baru Bian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tamin, Christopher Gira Sambang dari Selangau mendedahkan bagaimana harapan rakyat di Selangau yang kecewa dengan khidmat Baru Bian yang menjadi penyandang kerusi Selangau itu.
Baru Bian kini ‘lari’ bertanding kerusi Parlimen Lawas mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB) mencabar penyandangnya, Datuk Henry Sum Agong, yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Gira berkata, dahulu Baru Bian mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan menaburkan pelbagai janji manis yang mempersonakan rakyat Selangau.
“Bila menang dan menjadi Menteri Kerja Raya, tidak banyak yang beliau beri untuk rakyat khususnya di Selangau yang memerlukan pembangunan dari Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Gaya Lama Lawas hari ini.
Gira juga mendedahkan bagaimana beliau harus membahagi projek kecil luar bandar dan peruntukan ADUN untuk membantu penduduk di rumah-rumah panjang di Selangau.
“Saya datang ke Lawas menagih segala janji Baru Bian kepada rakyat Selangau yang beliau tinggalkan begitu sahaja selepas 22 bulan menjadi menteri.
“Tidak ada ucapan selamat tinggal atau terima kasih kepada pengundi di Selangau, rakyat seperti anak yatim yang ditinggalkan bapa dan sekarang beliau menabur janji lagi di Lawas,” katanya kecewa.
Gira berpesan supaya pengundi di Parlimen Lawas melihat sendiri hasil yang mampu dilakukan Baru Bian selama menjadi ADUN Ba’kelalan mewakili PSB dan Ahli Parlimen Selangau sewaktu bersama PKR.
Katanya, kedua-dua kawasan itu diabai dan tidak mendapat sebarang peruntukan pembangunan yang mampu mengubah nasib rakyat.
Hadir sama ialah Henry Sum Agong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas dan Duta Khas ke Romania Datuk Mutang Tagal dan Setiausaha Agung Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Nelson Balang Rining.
Oleh ADENG EDRUS