TANGGUNGJAWAB kerajaan hari ini, baik di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri dan wilayah, amat berat.
Penggalasannya menuntut fokus yang jitu, kerana cabaran yang dihadapi ketika ini bukan kepalang hebatnya.
Ada ‘sisa-sisa kemusnahan’ yang diakibatkan oleh pandemik penyakit berjangkit bernama Covid-19 yang perlu dibiasakan, sambil pada masa yang sama, ‘keruntuhan ekonomi’ yang merupakan kesan sampingan yang paling parah sekali perlu ditangani untuk mendirikannya semula agar kehidupan rakyat kembali selesa dan terarah.
Justeru, apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpantun ketika bertitah dalam majlis perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Parlimen ke-14 Isnin lepas, kesan genta amanat itu bertalunan menggemai halwa telinga, bukan sahaja orang politik, malah rakyat jelata pada keseluruhannya.
“Busana tradisi kain bersulam, warna jingga berawan larat; cukuplah berpolitik siang dan malam, fokuskan menjaga kepentingan rakyat.”
Tiada kata secantik bahasa. Ia menyelinap ke nubari kita semua.
Rakyat jelata meletak harapan tinggi daripada kerajaan, setelah pemimpin unggul selaku payung negara pun turut memberi panduan dan nasihat terbaik agar orang politik, baik dalam kerajaan mahupun di pihak pembangkang, menjitukan fokus masing-masing, mengutamakan kepentingan rakyat, bukannya membazir waktu dan tenaga mempolitikkan hal ehwal negara bangsa lewat retorik yang basi.
Rakyat mahu menikmati kehidupan dalam sebuah negara yang tadbir urusnya telus dan berintegriti, diterajui oleh jentera kerajaan yang amanah, bersih dan cekap dan ditunjangi oleh pihak pembangkang yang bertanggungjawab dalam iklim amalan demokrasi yang memberi makna kepada konsep semak-dan-imbang yang tulin dan bukannya hipokrasi yang menjelikkan.
Selain keparahan yang diakibatkan oleh pandemik Covid-19, fenomena banjir yang melumpuhkan sebahagian dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia pada kali ini juga menuntut perubahan haluan fokus yang sebelum ini nampaknya tidak terfikirkan.
Sistem amaran bencana berpusat, seperti yang disentuh dalam titah ucapan Yang di-Pertuan Agong merupakan satu aspek yang diharap akan menjadi realiti yang berupaya membebaskan negara daripada kedahsyatan masa depan.
Kita yakin, sekiranya orang politik membenamkan ego dan memanfaatkan kebijaksanaan titah Baginda Sultan, nescaya Malaysia pasti akan muncul sebagai sebuah negara maju dan makmur, insya Allah.