PILIHAN raya adalah waktu yang penting bagi memilih pemimpin berkualiti bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Kesilapan memilih pemimpin bakal memberi kesan kepada masyarakat, ekonomi, budaya dan sebuah negara serta negeri itu sendiri.
Sehubungan itu, pengundi perlu juga membuat ‘homework’ sebelum mengundi bagi memastikan calon yang dipilih itu akan memimpin dengan cekap, telus dan akan dibuktikan dengan hasil kerja yang boleh dinikmati oleh rakyat.
Perbincangan ini menjawab keperluan pengundi sekarang bahawa, perlunya lebih bijak dalam menilai calon yang ingin mereka pilih nanti.
Hal ini kerana terdapat pilihan negeri dan pilihan raya umum yang bakal dihadapi oleh penduduk negeri Sarawak khususnya dan warga Malaysia umumnya.
Keperluan
Keperluan tersebut amatlah mendesak kerana ini merupakan aspek penting dalam proses demokrasi yang sihat dan berkesan.
Terdapat enam faktor yang mendasari rasional tersebut.
Antaranya ialah terdapatnya kepentingan untuk membuat keputusan berdasarkan fakta dan data yang penuh maklumat.
Hakikatnya, memilih calon yang paling tepat adalah tanggungjawab penting setiap pengundi.
Dengan ada banyak sumber maklumat yang boleh dan mudah diakses, pengundi perlu memastikan bahawa, mereka membuat keputusan berdasarkan fakta dan maklumat sahih dan terkini mengenai calon dan platform politik mereka.
Kedua, memilih calon yang mewakili nilai dan kepentingan bersama.
Setiap pengundi mempunyai nilai dan kepentingan berbeza.
Memilih calon yang mewakili nilai dan kepentingan individu atau komuniti adalah penting untuk memastikan bahawa, wakil yang terpilih dapat menyuarakan hasrat, keinginan, cita rasa, keperluan dan aspirasi mereka di peringkat medan politik.
Aspek ini penting agar segala kemahuan rakyat setempat dapat disantuni.
Aspek ketiga ialah perlu kesedaran bahawa terdapat impak terhadap apa-apa pilihan mereka.
Hal ini kerana setiap undian mampu mempengaruhi arah politik masyarakat, negeri dan negara.
Oleh itu, penting bagi pengundi untuk memahami akibat pilihan mereka dan mengetahui kesan calon yang mereka undi dapat mempengaruhi isu penting seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.
Misalnya, jika memilih calon yang cakna pendidikan, maka hala tuju masa depan akan berasaskan pembinaan sistem pendidikan yang lebih berkualiti tinggi kepada anak bangsa.
Mencegah Manipulasi
Keempat, pengundi perlu lebih bijak memilih dan menilai calon pilihan raya agar dapat mencegah penipuan dan manipulasi.
Dalam proses politik, terdapat risiko penipuan dan manipulasi yang bertujuan mempengaruhi pengundi secara tidak sah.
Misalnya, terdapat calon yang menipu atau mengelirukan kelayakan akademik.
Ada yang mengaku kelulusan dari universiti ternama dunia, ada juga menggunakan ijazah yang tidak diiktiraf kerajaan, malah terdapat juga mendakwa lulus dari sebuah universiti, namun dikesani universiti tersebut tidak wujud.
Maka, dengan menjadi lebih bijak dan kritis dalam menilai calon, pengundi dapat membantu mengurangkan kemungkinan penipuan dan manipulasi politik.
Seterusnya, yang kelima, apabila pengundi bijak memilih calon pilihan raya maka ia akan mendorong akauntabiliti dan integriti.
Memilih calon yang berkualiti dan bermaruah dapat mendorong akauntabiliti dalam pentadbiran dan pembuat keputusan.
Calon pilihan raya yang bijak dan berintegriti cenderung berpegang pada janji-janji mereka dan berusaha untuk memenuhi keperluan pengundi.
Sebab mereka tahu, itu merupakan amanah dan tanggungjawab.
Pentingnya pengundi memilih calon yang berkualiti adalah faktor yang keenam iaitu untuk membina masyarakat makmur.
Proses demokrasi yang berkesan bergantung pada penyertaan aktif pengundi dalam memilih wakil mereka.
Dengan memilih calon yang bijak dan berkelayakan, pengundi turut membantu membangunkan masyarakat yang lebih makmur dan adil.
Tidak akan berlaku kepincangan baru dalam masyarakat.
Ternyata keseluruhannya pentingnya pemilihan secara bijaksana oleh pengundi menjadi asas kepada sistem politik yang berfungsi dengan baik dan dapat membawa perubahan yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara.
Oleh itu, pengundi perlu memberi perhatian serius terhadap proses pemilihan dan mengambil tanggungjawab sebagai warganegara untuk mengundi calon yang terbaik bagi kepentingan bersama.
Kaedah Mengenali Calon
Terdapat cara-cara yang boleh dilakukan untuk mengenali calon-calon pilihan raya secara terbaik.
Beberapa langkah berikut yang boleh anda ambil: Langkah awal ialah melakukan kajian terhadap latar belakang calon termasuk aspek pendidikan, pengalaman kerja, dan rekod politik mereka.
Pertimbangkan juga pencapaian mereka dalam bidang yang relevan dengan jawatan yang dipertandingkan.
Seterusnya, perlu dianalisis sandaran medium politik iaitu kenal pasti platform politik calon iaitu idea, janji dan matlamat mereka untuk negara atau kawasan tersebut.
Pertimbangkan sama ada platform mereka sejajar dengan nilai dan kepentingan masyarakat setempat.
Peluang mengikuti kempen dan debat calon mengenai isu penting dan pandangan mereka perlulah digunakan untuk menilai calon secara langsung dan menilai cara mereka berkomunikasi dan memberikan jawapan yang menunjukkan tahap pemikiran dan kebijaksanaan calon tersebut.
Perlu juga mendapatkan maklumat calon dan parti dari pelbagai sumber termasuk laman web rasmi calon, wawancara dengan media, rencana berita dan sumber lain yang boleh dipercayai.
Kita perlu mengelak daripada hanya bergantung pada satu sumber sahaja untuk menjadi lebih kritis.
Pada masa sama, perlu juga meninjau rekod pengalaman dan kerja, sama ada di bidang politik, awam atau swasta.
Hal ini penting bagi memahami bagaimana mereka telah berkhidmat dalam masyarakat dan sejauh mana mereka dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
Jangan lupa pula merujuk pandangan orang lain mengenai calon tersebut daripada ulasan dalam media sosial, forum dalam talian atau pendapat masyarakat untuk mendapatkan pandangan lain.
Soalan Langsung
Sekiranya berkesempatan soalan langsung kepada calon mampu menilai pandangan, pemikiran, sikap dan pendirian mereka. Cara menyantuni jawapan, pemahaman isu semasa juga dapat ditanggapi.
Selain itu, integriti calon juga perlu diperhalusi, pentingnya calon integriti akan lebih cenderung untuk berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, amanah dan jujur.
Tahap kepercayaan dan pengiktirafan yang diterima oleh calon daripada masyarakat juga perlu dinilai untuk menentukan tahap penerimaan masyarakat terhadapnya.
Berdasarkan perbincangan tersebut, maka dapat dirumuskan bahawa pentingnya, memilih calon pilihan raya atau sekurang-kurangnya boleh dimanfaatkan pertimbangan tersebut untuk memilih pemimpin komuniti atau setempat.
Yang penting asas-asas tersebut perlu didasari dengan lebih kukuh dan ampu bagi memastikan kepemimpinan yang cemerlang dan lebih berintegriti tinggi.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).