LUBOK ANTU: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi tidak memandang rendah keupayaan lawan dalam usaha merampas semula kerusi yang dianggap ‘panas’ itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (P{RU-15) ini.
Beliau bukan saja berdepan penyandang kerusi itu, Jugah Muyang yang bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), malah dua calon lagi.
Calon lain ialah Langga Lias, mewakili Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Johnical Rayong Ngipa dari Parti Bersatu Sarawak (PSB).
Roy Angau berkata, adalah menjadi tanggungjawab besar baginya dalam perjuangan mengembalikan kerusi itu kepada GPS melalui Parti Rakyat Sarawak (PRS).
“Ini satu tanggungjawab besar yang perlu digalas untuk menawan semula kerusi itu kerana keupayaan lawan tidak boleh dipandang rendah sehingga ke garisan penamat.
“Kita tidak boleh memandang rendah keupayaan calon lawan, kita akan pastikan semua pengundi turun mengundi pada 19 November ini, demi memastikan kemenangan GPS,” katanya ketika dkitemui ketika kempen menemui orang ramai di pekan Lubok Antu hari ini.
Bagaimanapun kata Roy Angau rakyat sudah pastinya mengenali dan bijak menilai apakah sumbangan sebenar penyandang di kawasan itu sepanjang empat tahun kebelakangan ini.
“Sekarang ini rakyat inginkan satu perubahan terutamanya kawasan Engkilili kerana kawasan itu sudah jauh ketinggalan terutama dari segi infrastruktur dan ia berlarutan sejak 2016.
“Kini mereka sedar hanya kerajaan GPS sahaja yang boleh membawa pembangunan di kawasan Lubok Antu yang terdiri daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili dan DUN Batang Ai,” katanya.
Roy Angau tidak sabar untuk berkhidmat kepada rakyat dan berharap dapat membawa perubahan kepada kawasan itu jika menang pada PRU15 nanti.
“PRU-15 adalah pilihan raya pertama saya. Saya akan menumpukan perhatian untuk turun padang bertemu rakyat, dan memberitahu apa yang GPS tawarkan untuk mereka,” katanya.
Katanya, jika dipilih dan diberi mandat oleh rakyat Lubok Antu, beliau akan menumpukan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat khususnya pembangunan dan pendidikan.
“Terdapat banyak perubahan yang ingin saya bawa ke kawasan ini, tetapi saya tidak boleh melakukan ini seorang diri.
“Jadi kita perlu turun padang, bertemu dengan akar umbi, mendengar keluhan mereka dan bekerjasama dengan parti komponen lain untuk membawa perubahan. Sekarang ini, saya fokus untuk memenangi pilihan raya,” katanya.