
KUCHING: Keputusan Kerajaan menangguhkan pelaksanaan mandatori sistem e-invois bagi syarikat berpendapatan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta selama setahun disifatkan sebagai langkah pragmatik dan bertanggungjawab, kata Penasihat Sheda, Dato Sim Kiang Chiok.
Menurut beliau, penangguhan itu mencerminkan kefahaman terhadap kekangan operasi sebenar yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya dalam persekitaran pematuhan peraturan yang semakin kompleks ketika ini.
“Walaupun e-invois merupakan langkah penting ke arah ketelusan, kecekapan dan pendigitalan ekosistem percukaian negara, realitinya ramai PKS masih belum mempunyai keupayaan untuk menanggung kos serta gangguan operasi secara serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan e-invois menuntut pelaburan besar termasuk naik taraf atau penggantian sistem perakaunan, penglibatan perunding luar, latihan semula kakitangan sedia ada serta kemungkinan pengambilan tenaga kerja tambahan. Bagi syarikat kecil yang beroperasi dengan margin keuntungan yang ketat, komitmen kewangan ini boleh menjejaskan aliran tunai dan kelestarian perniagaan.
Keadaan tersebut, katanya, lebih ketara dalam industri perumahan dan pembinaan yang didominasi kontraktor kecil dengan pengkhususan teknikal tertentu. “Kebanyakan syarikat ini beroperasi dengan struktur pentadbiran yang minimum tanpa pasukan perakaunan atau pematuhan yang besar. Keperluan pelaporan digital yang kompleks dalam tempoh singkat boleh mengalihkan fokus mereka daripada produktiviti, penyiapan projek dan pengurusan tenaga kerja,” ujarnya.
Sim turut menegaskan penangguhan itu tepat pada masanya memandangkan PKS kini berdepan pelbagai keperluan pematuhan baharu dan yang diperluaskan, termasuk sistem Duti Setem Penilaian Kendiri, levi berperingkat pekerja asing, cadangan cukai karbon bagi industri terpilih, duti setem kontrak pekerjaan, keperluan perumahan pekerja di bawah Seksyen 446, pelantikan Pegawai Perlindungan Data di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi serta Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
“Secara individu, setiap dasar mungkin wajar, namun secara kolektif ia meletakkan beban pentadbiran dan kewangan yang berat ke atas perniagaan kecil,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan tempoh penangguhan setahun wajar dimanfaatkan sebagai fasa peralihan yang konstruktif melalui libat urus bermakna, latihan bersasar dan perancangan pelaksanaan yang realistik.
“Saya percaya reformasi akan lebih berkesan dan mampan apabila PKS benar-benar bersedia, disokong dan diberikan masa mencukupi untuk menyesuaikan diri, bukannya dibebani tekanan pematuhan serentak,” tambahnya.